Oleh Haniq Raffael
APA yang pasti dalam usaha untuk menghasilkan satu kraf tangan atau pertukangan, seseorang itu perlu ada bakat dan juga kepakaran yang khusus.
Seperti yang kita sedia maklum pada kebiasaannya pertukangan tangan lebih banyak dilakukan oleh warga emas atau mereka yang sudah berumur dan tidak mempunyai apa-apa pekerjaan serta sudah bersara.
Pada hari ini, kraf tangan seperti ukiran pertukangan kayu semakin kurang dipratikkan terutama sekali di kalangan belia-belia tempatan.
“Sebenarnya melibatkan diri dalam perusahaan tangan atau kraf tangan sememangnya banyak mendatangkan hasil serta manfaat terutama sekali jika ia disasarkan kepada anak-anak remaja atau belia kerana dengan melakukan seni ini ia akan mampu mengisi masa lapang mereka dan menghindarkan mereka terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini,” kata Haji Tunggal kepada penulis.
“Saya selalu menasihat anak-anak saya untuk aktif mempelajari seni pembuatan kraf tangan yang mana kebanyakannya diperbuat daripada kayu-kayu sama ada kayu itu diperolehi daripada hutan.
Dengan bakat yang dimiliki ini ia akan berupaya memberikan pendapatan sampingan mereka,” tambah Haji Tunggal lagi.
Mengenali jenis kayu dan tumbuh-tumbuhan
Haji Tunggal mempunyai 18 orang anak dan selain mendidik mereka dengan cara-cara pertukangan kayu, anak-anak beliau turut dididik dan diajar dalam mengenali pelbagai jenis kayu yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai hiasan.
Ini kerana tidak semua jenis kayu yang sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan.
Jika sebelum ini, beliau sering membawa masuk anak-anaknya ke dalam hutan untuk memperkenalkan mereka kepada pelbagai jenis-jenis kayu dan tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat untuk perubatan tradisional namun kini, aktiviti itu terpaksa dikurangkan kerana usia beliau yang sudah meningkat tinggi.
“Saya sudah didedahkan mengenali ilmu pertukangan kayu dan mengenali pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan sejak kecil lagi oleh kedua orang tua saya. Sehingga ke hari ini, ilmu itu saya manfaatkan untuk kegunaan sendiri dan orang lain,” kata Haji Tunggal.
Menurutnya, antara jenis kayu yang berkualiti untuk dijadikan sudu ialah gegawi, parang dan banyak lagi.
Beliau ada kalanya membeli dari individu yang memang pakar dan arif dalam jenis kayu yang berkualiti serta kebanyakannya di beli dari Daerah Temburong.
Sejak tahun 2004, Haji Tunggal sudah mula melibatkan diri dalam pembuatan kraf tangan seperti parang, sarung parang, sudu, gegawi, gasing hiasan dan sebagainya sehingga ke hari ini.
Beliau sudah banyak menghasilkan kraf tangannya sendiri serta turut dibantu oleh anak-anak beliau. Kebanyakan hasil kraf tangan beliau dibeli oleh penduduk tempatan dan juga para pelancong dari luar negara.
“Walaupun tidak mempunyai kedai khusus untuk menjual hasil pertukangan kayu, saya dan juga anak-anak hanya menjual kraf tangan ini di rumah.
“Kami juga turut akif dalam mengikuti ekspo-ekspo yang dianjurkan di dalam negeri dan sehingga ke hari ini, sambutan yang diberikan cukup mengalakkan.
“Ini sedikit sebanyak memberikan kami semangat yang kuat untuk kami semua dalam meneruskan lagi legasi warisan pembuatan kraf tangan ini,” kata Haji Tunggal.
Sesuatu yang bernilai
“Bahkan anak-anak saya juga kini sudah berminat dalam menghasilkan pertukangan kayu dan hampir setiap hari, mereka mempraktikan seni itu di rumah.
Lagi pun anak-anak perempuan saya belum mempunyai pekerjaan, oleh itu dengan melakukan seni ini, ia merupakan pekerjaan harian mereka,” tambah Haji Tunggal lagi.
“Seni ukir dan kraftangan ini sangat bernilai dan kita seharusnya perlu memastikan warisan berzaman ini diwarisi oleh generasi masa kini,” katanya.
Dalam menaikkan martabat dan warisan seni ukiran kayu daripada luput ditelan zaman, beliau juga turut menyarankan agar belia-belia di luar sana cuba untuk berjinak-jinak mempelajari seni kraftangan.
Beliau sendiri tidak pernah merasa puas memberikan galakan kepada generasi muda terutamanya kepada anak-anak beliau untuk turut serta menceburkan diri dalam seni ukiran kayu.
“Pada hari ini, kebanyakan masyarakat kurang memberikan penghargaan khususnya dalam seni ukiran kayu malah masyarakat juga kurang menitikberatkan produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan.
Kebanyakan masyarakat tempatan kurang memberikan perhatian terhadap produk tempatan terutama hasil ukiran kayu malah mereka lebih menjurus untuk mendapatkan barangan kraf dari negara-negara luar seperti Indonesia dan juga Thailand,” tambah Haji Tunggal.
“Apa yang pasti, kita perlu menghargai produk kraf tangan tempatan yang mana ia sebenarnya berfungsi untuk menunjukkan identiti kita sebagai rakyat Brunei yang mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” tambah Haji Tunggal mengakhiri temu ramah.