Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Bagi memastikan kebersihan Bangunan Baru Masjid Wakaf Kampung Kulapis sebelum pemasangan permaidani dan digunakan sepenuhnya, majlis menyertu masjid baru berkenaan telah diadakan hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.
Turur hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Roslan bin Haji Taja’ah, ahli keluarga pewakaf, penduduk kampung, pegawai dan kakitangan di KHEU dan sukarelawan Mukim Sengkurong.
Pada majlis itu, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Zainal bin Haji Othman.
Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Masjid, penduduk Kampung Kulapis dan sekitarnya akan mempunyai sebuah masjid baru dalam masa terdekat ini.
Masjid Wakaf Kampung Kulapis berkenaan boleh menampung lebih kurang 700 orang jemaah dan antara kemudahan yang disediakan termasuk dewan sembahyang utama (Lelaki), ruang sembahyang perempuan, bilik imam/bilal, bilik stor, bilik dapur, bilik bacaan, bilik mesyuarat, bilik serba guna, tempat letak kereta, tandas dan tempat berwuduk bagi jemaah lelaki dan perempuan yang berasingan dan bilik pengurusan jenazah.