Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membangun dengan akhlak Nabi Muhammad SAW

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Sungguhpun Nabi Muhammad SAW seorang yang maksum, terpelihara daripada perbuatan dosa dan maksiat, bahkan telah dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran syurga, namun Baginda tetap melakukan ibadah kepada Allah, sehingga ke tahap yang melebihi daripada tahap biasa.

    Baginda sama sekali tidak mengabaikan ibadah kepada Allah, bahkan sentiasa menggandakannya, walaupun kedudukan Baginda sudah diketahui terjamin sebagai orang yang mula-mula sekali melangkahkan kaki ke dalam syurga.

    Akhlak Baginda dengan Allah SWT itu telah ditekankan oleh Pemangku Penolong Mufti (Ifta’), Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Dennie bin Haji Abdullah semasa menyampaikan Syarahan Khas Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat Negara bertajuk ‘Membangun dengan Akhlak Nabi Muhammad SAW’, yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, apa jua sebarang pembangunan, sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan rohani, amanah dan sabar adalah antara dua akhlak yang penting di dalamnya.

    Rasulullah dalam menunaikan amanah daripada Allah, menyeru manusia supaya beriman kepada Allah, telah menerima berbagai-bagai dugaan, ancaman dan kecaman.

    Haji Dennie ketika menyampaikan syarahan khas sempena Maulidur Rasul.
    Antara ahli Majlis Mesyuarat Negara yang hadir pada majlis sambutan Maulidur Rasul.
    Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Nabi Muhammad SAW juga, pernah cuba dirasuah, ditawarkan dengan harta benda, ditawarkan dengan pangkat dan kedudukan, ditawarkan juga dengan wanita, agar Baginda meninggalkan dakwahnya, mengkhianati amanah Allah.

    Tetapi, tegas beliau, Nabi Muhammad SAW tetap sabar, tegas dan teguh, tidak berganjak sedikit pun terhadap sebarang tekanan mahupun tawaran hebat, untuk mengkhianati amanah Allah itu.

    Sehingga, apabila bapa saudaranya, Abu Talib yang merupakan pembela nabi selama ini, menasihati Baginda untuk menghentikan saja dakwahnya di atas desakan orang-orang Quraisy pada ketika itu.

    “Lihat! Bagaimana mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW itu, dan bagaimana besarnya sifat pengasih dan pemaaf Baginda, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi membalasnya dengan kebaikan, sekalipun terhadap mereka yang memusuhi Baginda,” tekan beliau.

    Menurut beliau lagi, ini memang satu perkara yang sangat susah dilakukan, tetapi boleh dilakukan oleh orang yang benar-benar memiliki akhlak pemaaf.

    Akhlak pemaaf adalah akhlak yang agung, yang hanya dimiliki oleh orang yang benar-benar agung sahaja, agung di sisi Allah dan agung di sisi manusia.

    “Sifat amanah dan pemaaf yang telah kita jelaskan, adalah dua akhlak yang ditunjangi oleh sifat sabar. Memikul dan menunaikan amanah memerlukan sifat sabar begitu juga memaafkan kesalahan orang lain, memerlukan sifat sabar.

    “Tidak ada kesabaran yang paling agung kecuali kesabaran yang ditunjukkan dan yang dilalui oleh Rasulullah. Sebagaimana Rasulullah sabar dalam menghadapi cabaran dan dugaan dalam menjalankan amanah Allah dan dakwah Baginda,” ujar beliau.

    Tambahnya, Rasulullah SAW juga sabar dalam menghadapi kehidupan sebagai seorang anak, sebagai seorang suami dan sebagai seorang ayah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda