Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membantu usahawan IKS

    PENGARAH dan penerbit, Erma Fatima mengakui, kerjaya seni bukan lagi fokus utamanya kerana jiwanya kini lebih tertumpu kepada bidang keusahawanan.

    Erma berkata, meneroka cabang yang mencabar itu membuka perspektif baharu dalam kehidupannya, selain dapat menjalankan tanggungjawab sosial membantu peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS).

    “Sebelum ini, saya pernah mengumumkan untuk tidak lagi bertanding dalam mana-mana acara anugerah atau mengarahkan drama. Saya jauhkan diri dari dunia seni kerana jiwa lebih cenderung kepada program keusahawanan. Saya masih menjadi penerbit, tetapi kerja pengarahan sudah bertahun saya tinggalkan. Saya lebih seronok masuk kampung, beli produk IKS dan bantu menjualnya. Apa yang saya lakukan ini adalah kesinambungan jiwa Mak Cun. Ketika menerbitkan drama itu, saya tahu betapa peritnya menjadi usahawan kecil. Itu yang mendorong niat saya untuk membantu golongan ini,” katanya.

    Erma berkata, menerusi penubuhan Rumah Budaya, dia turut membantu usahawan kecil dengan memasarkan produk IKS, terutama makanan dan kraf tangan.

    Majlis perasmian premis di ruang legar Menara Kuala Lumpur itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, baru-baru ini. Kata Erma lagi, Rumah Budaya turut menyediakan lebih 100 pasang pakaian tradisional pelbagai etnik untuk digayakan pelancong ketika merakamkan gambar kenangan.

    “Saya mendapat inspirasi membuka Rumah Budaya selepas melihat pakaian tradisional Jepun dan Korea mendapat sambutan pelancong untuk digayakan ketika berkunjung ke negara mereka. Pameran pengantin, termasuk istiadat persandingan, tarian dan permainan rakyat antara pengisian tambahan bagi merancakkan lagi Rumah Budaya,” katanya mengenai premis yang dibuka sejak sebulan lalu. – Agensi

    Erma Fatima mengakui, kerjaya seni bukan lagi fokus utamanya kerana jiwanya kini lebih tertumpu kepada bidang keusahawanan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda