Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    ‘Membeli Sambil Menderma’ pada jualan amal Pertiwi Belait

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 10 APRIL – Persatuan Pertiwi Daerah Belait, baru-baru ini, telah melancarkan projek tradisi jualan amal menjelang Hari Raya, Membeli Sambil Menderma buat kali ke-36 yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah, Seria.

    Perasmian jualan amal itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed yang dialu-alukan ke majlis itu oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan isteri, penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

    Ahli-ahli yang menyertai jualan itu terdiri daripada kalangan remaja, suri rumah tangga dan ibu tunggal dari kalangan ahli Persatuan Pertiwi sendiri.

    Penyertaan disyaratkan untuk mengambil kira segala syarat seperti pemeriksaan kesihatan, penggunaan bahan-bahan yang berkualiti dalam pembuatan kuih-muih yang berbentuk biskut, kek dan sebagainya untuk keperluan orang ramai menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Sebanyak 20 petak jualan kuih-muih disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Orang ramai boleh membuat pilihan kuih-muih lebih berkualiti dan trend terkini di dalam bangunan, sementara itu, di bahagian luar bangunan disediakan untuk jualan pakaian dan tanaman.

    Jualan amal itu diungkayahkan dalam usaha memberi pilihan kepada orang ramai membuat persiapan menjelang Hari Raya dengan 10 peratus hasil jualan  akan disumbangkan kepada Tabung Amal Anak Yatim Daerah Belait dan Tabung Amal Kebajikan Daerah Belait.

    Projek tahunan itu juga membantu kaum wanita terutama dalam kala-ngan ahli-ahli persatuan meningkatkan pendapatan sampingan.

    Awang Mohammad Yassin meninjau salah satu petak semasa jualan amal berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...