Membina ikatan, hubungan lebih erat

Oleh Lenna N.B.

WALAUPUN bulan Syawal sudah sampai ke penghujungnya, ternyata Sambutan Aidilfitri tetap berseri dan meriah. Kelihatan wajah-wajah para pegawai, pendidik, guru-guru serta mereka yang telah bersara ketawa riang di hari raya. Pertemuan mereka pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri telah mencipta kenangan yang cukup indah dan bererti di penghujung Syawal tahun ini.

Sejumlah 189 orang di kalangan pegawai-pegawai, guru-guru besar, penolong-penolong guru besar, dan guru-guru yang telah bersara serta yang masih bertugas di sekolah-sekolah rendah seluruh negara telah hadir pada acara Majlis Ramah Mesra Aidilfitri pada 23 Julai 2017 baru-baru ini bersempena meraikan Sambutan Hari Raya yang dikelolakan di Terindak D’Polo, Jerudong.

Acara ini julung kali diadakan dari cetusan idea Mantan Pegawai Bahagian Pendidikan Rendah sebagai platform sesi mengeratkan silaturrahim, di samping mengabadikan kenangan bersama para hadiran. Ahli jawatankuasa tidak rasmi telah ditubuhkan untuk mengungkayahkan majlis ramah mesra tersebut, dalam merealisasikan pertemuan yang bererti di hari raya.

Mengerat hubungan

Acara ini turut mendapat sokongan padu dan muafakat di kalangan pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin dan guru-guru yang terlibat dari keempat-empat daerah. Wakil Ahli Jawatankuasa, Haji Zulkipli bin Haji Ladis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, disamping mengeratkan jalinan silaturrahim, acara ini juga menjadi platform berkongsi pengalaman, bermaaf-maafan, serta meraikan Aidilfitri yang kian sampai ke penghujungnya.

Turut menarik adalah perkongsian daripada Haji Aji bin Haji Ishak, salah seorang mantan pengawai kanan di Bahagian Pendidikan Rendah, selaku wakil jemputan yang menceritakan pengalaman bertugas mengenai pahit maungnya serta kemanisan selama berkhidmat menjadi guru dan perihal berkaitan pendidikan.

“Kerjaya sebagai guru adalah saluran untuk mencari pahala sebagai saham di akhirat. Ia menyarankan supaya kita yang masih berkhidmat akan dapat menjalankan amanah ini di dunia kerana insan yang menjadi pendidik telah pun ditakdirkan oleh Allah jua,” ujarnya semasa memberikan kata ucapan, cukup menyentuh hati bagi siapa sahaja menggelar pendidik.

Sepanjang acara, tayangan klip video yang memaparkan pelbagai aktiviti bahagian pendidikan rendah dan sekolah rendah telah dimainkan, menggamitkan kenangan keceriaan dan kemanisan bertugas sebagai pendidik di kalangan para hadiran. Ia merupakan detik-detik istimewa dalam acara tersebut, turut diserikan dengan lagu-lagu hari raya, aktiviti cabutan bertuah dan sebagainya.

Haji Aji ketika berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai pendidik.
Haji Aji ketika berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai pendidik.
Cabutan bertuah menyerikan acara.
Cabutan bertuah menyerikan acara.
Antara ahli jawatankuasa tidak rasmi sebalik tabir yang menjayakan acara.
Antara ahli jawatankuasa tidak rasmi sebalik tabir yang menjayakan acara.
Sekitar suasana Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Terindak D’Polo.
Sekitar suasana Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Terindak D’Polo.

M3 3a_28717Bergambar ramai Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Pendidikan Rendah pada 23 Julai 2017 di hadapan bangunan Terindak D’Polo, Jerudong.

Bergambar ramai Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Pendidikan Rendah pada 23 Julai 2017 di hadapan bangunan Terindak D’Polo, Jerudong.

Julung kali diadakan

Keceriaan jelas kelihatan di kalangan para hadiran. Sesi ramah mesra yang julung kali diadakan tersebut ternyata telah mencipta kenangan indah di penghujung raya tahun ini. Malah, mereka yang hadir pada malam tersebut, bercadang untuk acara sebegini diadakan setiap tahun, sebagai penyeri di Hari Raya, dan menambah keistimewaan berhari raya buat para pendidik bagi Aidilfitri yang akan dinanti-nantikan setiap Syawal menjelma.

Begitulah indahnya Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang serba sederhana dan ringkas ini. Para hadiran sungguh terharu kerana dapat berkumpul pada hari tersebut bersama menciptakan kenangan yang begitu bernilai dan bererti.

“Alhamdullillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan izinnya, kami semua dapat berkumpul dengan rasa muhibah dan ukhuwah bertemu sesama pesara-pesara, mantan-mantan guru-guru besar dan guru-guru besar, penolong guru-guru besar, pegawai-pegawai bahagian rendah yang masih berkhidmat dan bersara di majlis ini. Syabas kepada ahli jawatankuasa yang menjayakan acara ini dengan baik dan lancar. Semoga jalinan silaturahim sentiasa utuh dan berpanjangan, serta semoga berpeluang lagi bertemu seperti ini di masa akan datang,” ujar salah seorang hadiran di acara tersebut di penghujung majlis.