Oleh Syahmi Hassan
BAGI membangun belia di Negara Brunei Darussalam, pelbagai program-program pembangunan kapasiti, kemudahan prasarana, infrastruktur serta bantuan daripada segi fizikal telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi membantu mencapai Wawasan Negara 2035.
Pihak kerajaan melalui pelbagai agensi menyumbang tenaga dalam penyediaan program-program ke arah membangunkan para belia di negara termasuklah dalam memperkasa bidang keusahawanan di kalangan belia.
Contohnya Darussalam Enterprise (DARe) yang merupakan sebuah badan berkanun bagi mengasuh dan memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan sejak mula diwujudkan sehinggalah berkembang maju melalui program Startup Bootcamp yang mana merupakan program latihan serta bimbingan dalam pelbagai aspek termasuk penciptaan dan pelaksanaan idea, kemajuan produk, penyediaan pelan perniagaan, pengenalan perniagaan, termasuklah cara-cara mendapatkan pembiayaan dan teknik pemasaran serta penjualan produk dan lain-lain agensi.
Dengan pelbagai inisiatif dan program-program menjurus ke arah pembangunan belia oleh pihak kerajaan adalah semata-mata dihasratkan untuk meningkatkan keupayaan para belia tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara ini untuk melahirkan ramai lagi pakar-pakar, profesional-profesional, usahawan-usahawan dan pemimpin-pemimpin belia yang berjaya di masa hadapan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara secara insklusif dan mampan serta membantu menangani isu kemiskinan dan mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini.
Program-program yang bersesuaian
Bagi membina kapasiti para belia secara holistik, usaha juga ditumpukan kepada penerapan program-program jati diri dan latihan kemahiran bagi belia-belia sesuai dengan keperluan masa kini dengan pengendalian Program Khidmat Bakti Negara (PBKN).
Pada 1 Ogos baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam telah menyambut Hari Belia Kebangsaan, yang disambut setiap tahun untuk memartabatkan pergerakan belia di negara ini dengan menyambutnya di suatu perhimpunan belia-belia seluruh negara sebagai wadah untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan pendapat dari pelbagai aspek, di samping mengeratkan tali silaturahim serta menjana integrasi di kalangan generasi belia.
Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12 ini mengetengahkan tema ‘Belia Berdaya Usaha dan Berinovasi Menjayakan Wawasan Negara’ membawa erti bahawa para belia perlu meningkatkan lagi daya usaha untuk melakukan pelbagai perkara besar dalam segenap bidang sama ada sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya yang berbentuk penciptaan dan perubahan.
Pelbagai program direncanakan untuk penyertaan belia di mana tiga kluster program iaitu Aksi Belia, Khidmat Belia dan Cabaran Belia adalah untuk mengukur kehebatan belia Brunei dengan aspirasi hidup masing-masing.
Salah satu program yang direncanakan ialah Bas Belia yang akan mendidik belia tentang perkembangan diri, kepimpinan, daya usaha, persefahaman dan perkhidmatan kepada orang lain dan negara yang merupakan strategi-strategi Dasar Belia Negara untuk membina belia yang syumul.
Jelas sekali kerajaan tidak memandang rendah mengenai perkembangan dan kemajuan belia di negara ini, hanya tinggal para belia sahaja lagi untuk berusaha menggunakan platform-platform yang ada disediakan dalam mendukung ke arah Wawasan Negara 2035.
Oleh yang demikian, belia perlulah mempunyai dasar mereka di mana nilai-nilai dan kepercayaan yang terkandung
dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja perlu ditanam dan diperkukuhkan di dalam setiap diri belia. Selain itu, rasa kepunyaa, patriotisme, beriltizam, berazam dan berhaluan yang jelas perlu di pupuk juga kepada setiap diri belia.
Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pada kalangan belia juga perlu diperkembangkan, serta menanam sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, dapat menyesuaikan diri dan berdikari dalam diri mereka bagi pembangunan negara, selain mengukuhkan perpaduan negara.
Tidak ketinggalan juga ialah belia perlu digalakkan dalam penglibatan terhadap perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan.
Prinsip
Selain itu, para belia juga perlu mempunyai prinsip iaitu mendukung kerasmian Ugama Islam serta menzahirkannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian para belia sebagai cara hidup yang lengkap selaras dengan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.
Para belia juga mestilah menyumbang kepada kehidupan bermasyarakat, bernegara dan perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan di Negara Brunei Darussalam supaya negara keseluruhannya dan belia khususnya dapat mengatasi dan mendapat faedah dari perubahan sosial, ekonomi dan teknologi yang pesat tanpa menjejaskan nilai peribadi dan kebudayaan mereka.
Menyumbang kepada pembinaan kesedaran diri, kepaduan, perkhidmatan kepada orang lain dan keeratan sosial di kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya di kalangan belia.
Prinsip-prinsip yang lain yang diperlukan daripada belia ialah menyumbang kepada perkembangan pengetahuan, kemahiran dan sikap peribadi yang dikehendaki di kalangan orang ramai, khususnya belia, bagi kemajuan negara, pekerjaan dan warganegara yang aktif dan produktif; membantu belia memperkembangkan kualiti peribadi yang penting seperti berdikari, kepimpinan, inisiatif, keyakinan, iltizam, daya usaha dan kreatif dan untuk menggalakkan ekspresi kualiti ini dalam pelbagai keadaan sosial dan ekonomi;
Memperluas penglibatan organisasi belia amnya dan Majlis Belia Brunei khususnya dalam pembangunan negara; membolehkan belia memperkembangkan kesedaran dan persefahaman antarabangsa, supaya menyedari kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN, rantau Asia, Komanwel dan antarabangsa; serta menggalakkan pihak swasta mempunyai program khas bagi belia.