Membina sahsiah Muslimah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Untuk mengingat kembali peristiwa Israk dan Mikraj serta menjadikannya sebagai teladan dalam membina sahsiah Muslimah yang beriman dan bertakwa, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah mengendalikan ceramah khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1440H/2019M bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Brunei dan Muara di masjid berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri kepada setiausaha tetap di KHEU, Datin Hajah Norliyana binti Haji Arif Lim.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan wanita dari KHEU dan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid, Daerah Brunei dan Muara. Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Muslimah, JHEM, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, disusuli dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Widad binti Abdul Aziz.

Antara inti pati ceramah berkenaan adalah mengenai kepentingan perjalanan agung Baginda Rasulullah SAW di luar kotak pemikiran manusia, yang mana secara logiknya tidak akan dapat dihadapi tanpa keyakinan iman dan tanpa kekuasaan Allah SWT.

Ceramah juga menyentuh mengenai kemanisan ibadah solat bagi setiap manusia yang beriman. Namun begitu, ceramah tersebut turut memberi amaran bahawa kita manusia perlu sentiasa peka dan berwaspada akan strategi kehancuran yang dibawa oleh tentera syaitan dalam bentuk tipu daya dan usaha mereka untuk mengheret manusia yang melakukan ibadah solat.

Sebelum bersurai, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan oleh tenaga pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Hajah Halimah binti Haji Mohd Said.

Antara tujuan acara tersebut adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Israk dan Mikraj sekali gus sama-sama mengembangkan syiar Islam dan mengimbas kembali peristiwa yang berlaku dalam Israk dan Mikraj serta mengambil teladan daripadanya.

Melalui acara ini juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persaudaraan dalam kalangan pelajar Kelas Bimbingan Muslimah.

Ceramah khas disampaikan oleh Dr Widad binti Abdul Aziz.
Antara Muslimah yang hadir di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.