Oleh Raz AS
SEBUAH novel bertemakan ala-ala Tomb Raider yang digabungkan dengan fantasi urban, Dragon Bones, karya Jasmine Walt adalah sebuah novel karya terlaris New York Times yang setentunya tidak mahu dilepaskan untuk dimiliki oleh peminat-peminat novel fantasi.
Novel ini mengisahkan tentang seorang protagonis wanita, Nia Rivers, yang merupakan seorang ahli arkeologi, peminat fesyen terkini dan juga sebenarnya seorang yang mempunyai kehidupan yang kekal abadi. Meskipun begitu, Nia juga adalah seorang yang mempunyai masalah pelupa yang sangat serius.
Setelah berkurun-kurun lamanya, Nia sentiasa berusaha untuk mengisikan kisah silamnya yang telah dilupakannya dengan membongkar kisah detik-detik hitam dalam sejarah. Perinsip Nia adalah, kisah sejarah yang paling buruk adalah kisah yang seharusnya diketahui ramai.
Walau bagaimanapun, apabila telah tampil seorang wanita misteri menemuinya bersama sebuah bahan tinggalan sejarah yang berusia lebih daripada 2000 tahun yang mempunyai kaitan dengannya, Nia tidak pasti sekiranya dia mahu orang ramai mengetahui kisah di sebaliknya.

Akan tetapi, Nia tidak mempunyai banyak pilihan apabila dia harus membongkar kebenarannya secepat mungkin sebelum seorang pemaju tanah yang tamak menimbus tapak itu buat selamanya. Tambahan lagi pemaju itu juga merupakan seorang yang memiliki kehidupan yang kekal seperti Nia, malah menyimpan dendam kesumat yang berasal dari berkurun lalu terhadap dirinya.
Bukan itu sahaja, Nia terpaksa berhadapan dengan pembunuh-pembunuh yang telah lama menghendap dari masa silam.
Membiarkan sahaja musuh-musuhnya melakukan apa saja yang mereka mahukan mungkin adalah pilihan terbaik buat Nia, lebih-lebih lagi jika kebenaran itu akan membongkar segala perlakuan buruknya sendiri pada satu ketika dulu. Namun bukankah itu bermakna dia akan melanggar prinsipnya sendiri?