Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Kedua
Ini bukan sahaja akan membawa nama buruk kepada masjid, bahkan kepada agama Islam serta umat Islam sendiri. Ini jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang telah merafakkan martabat kebersihan ke tempat yang sangat tinggi.
Dari segi hukum, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, membersihkan masjid hukumnya sunat yang sangat dituntut.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata dalam syarahnya terhadap Shahih Imam Muslim yang ertinya:
Adalah suatu sunat yang sangat dituntut untuk menyapu dan membersihkan masjid berdasarkan hadits-hadits yang shahih lagi masyhur mengenainya.
Manakala mengotorkan atau mencemarkannya pula, walaupun dengan sesuatu yang bersih, menurut Imam al-Munawi Rahimahullah, hukumnya adalah haram kerana perbuatan tersebut seolah-olah satu penghinaan ke atas rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ini sepertimana kata Imam al-Munawi Rahimahullah dalam kitab Faidh al-Qadir yang ertinya:
Dan diharamkan mengotorkannya (masjid) walaupun dengan sesuatu yang bersih kerana ia satu penghinaan terhadap masjid.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, tercatat kisah mengenai Ummu Mehjan Radhiallahu ‘anha, seorang wanita yang secara sukarela berkhidmat memelihara kebersihan masjid.
Beliau secara rutin dilihat menyapu dan membuang sampah di masjid Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun pada suatu hari, beliau tidak lagi kelihatan.
Menyedari serta terkesan akan ketiadaannya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun mencarinya dan bertanya kepada para sahabat Baginda akan hal wanita tersebut. Mereka pun memberitakan kepada Baginda bahawa wanita itu sudah pun meninggal dunia.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu terkejut dan merasa kesal kerana Baginda tidak dikhabarkan lebih awal tentang kematiannya dan Baginda menegur para sahabatnya kerana mereka seolah-olah tidak memandang tinggi kedudukan wanita itu sehingga mereka menyangka kematiannya tidak perlu dikhabarkan kepada Baginda dengan segera.
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta para sahabat untuk menunjukkan kuburnya lalu Baginda pun pergi ke kuburnya lantas menyembahyangkan jenazahnya.
Alangkah beruntungnya Ummu Mehjan Radhiallahu ‘anha ini sehinggakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sanggup bekarih pergi ke kuburnya untuk menyembahyangkan jenazahnya sebagai penghormatan dan penghargaan atas khidmatnya membersih, menyapu dan mengutip sampah di masjid. Kenapa Ummu Mehjan Radhiallahu ‘anha ini sangat beruntung? Kerana sembahyang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk jenazahnya itu merupakan rahmat dan cahaya di kuburnya. Ini menunjukkan bahawa khidmat memelihara kebersihan masjid itu bukan calang-calang khidmat, bahkan ia satu taqarrub serta amalan mulia dan ibadat yang sangat istimewa.
Dalam beberapa riwayat lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak mengarahkan supaya masjid itu dipelihara kebersihannya. Antaranya sebuah riwayat di mana ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata yang maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan supaya membina masjid-masjid di kawasan tempat perkumpulan suku-suku kaum, dan (hendaklah masjid-masjid itu) dibersihkan (daripada kotoran) dan diberi harum-haruman. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Hadits seumpama ini juga diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud, Musnad Ahmad dan lainnya daripada Samurah bin Jundab Radhiallahu ‘anhu.
Dalam kitab Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah, diriwayatkan bahawa Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu telah berkata yang maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah terlihat kahak di kiblat masjid. Lalu Baginda pun marah sehingga merah muka Baginda. Lantas bangunlah seorang wanita daripada golongan Ansar menggosoknya (membersihkannya) kemudian meletakkan wangian pada bekas kahak tersebut. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Alangkah eloknya perbuatan ini”. (Hadits riwayat an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan sekadar mengarahkan kita supaya memelihara kebersihan masjid, bahkan Baginda sendiri menjadikan diri Baginda contoh tauladan.
Ini jelas sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada beberapa sahabat antaranya Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Hurairah, Ibnu ‘Umar dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum yang memberitakan bahawa apabila ternampak kotoran di masjid, Baginda sendiri tanpa berlengah akan membersihkannya yang maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah terlihat air ludah pada dinding kiblat (di masjid), lalu Baginda pun menggosoknya (membersihkannya). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Alangkah beruntungnya mereka yang bekerja sebagai pembersih rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tempat yang paling dicintaiNya. Tugas sebagai pembersih masjid bukan satu pekerjaan yang boleh dianggap ringan, remeh atau hina, bahkan ia satu pekerjaan yang sangat mulia dan patut dipandang tinggi.
Memelihara kebersihan masjid tanggungjawab bersama
Memelihara rumah Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada sebarang kotoran bukanlah sekadar tanggungjawab pekerja pembersih masjid, imam ataupun bilal semata-mata. Bahkan ia merupakan tanggungjawab sesiapa sahaja yang menggunakan atau memasuki masjid, sama ada jemaah yang hendak mendirikan sembahyang atau orang yang menghadiri suatu majlis mahupun kuliah, kursus dan sebagainya yang diadakan di mana-mana kawasan masjid.
Dalam sama-sama memikul tanggungjawab memelihara kebersihan masjid, seyogia diambil perhatian perkara-perkara berikut:
Yang pertama, memelihara kebersihan masjid tidak terhad kepada bangunannya sahaja.
Bahkan menurut ulama, wajib memelihara keseluruhan masjid. Ini termasuk luar dan dalam bangunan masjid, harim masjid atau kawasan masjid, menara masjid, tandas masjid dan sebagainya.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata dalam kitab al-Majmu‘ yang ertinya:
Dinding masjid luar dan dalamnya adalah sama keadaan hukumnya sepertimana hukum masjid dalam perkara kewajipan memeliharanya dan menghormati kesuciannya, begitu juga bumbungnya serta telaga yang terdapat di dalamnya, dan begitu juga seluruh halamannya.