Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Memelihara kebersihan masjid satu ibadat istimewa

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Ketiga

    Seterusnya, haram hukumnya membawa masuk najis ke dalam masjid.

    Salah satu contoh yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah ialah jika pada badan seseorang itu terdapat najis atau ada kecederaan sehingga ia menjadi kotor oleh darah dan seumpamanya, maka haram dia masuk masjid jika dikhuatiri akan mengotorkan masjid.

    Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak layak untuk sesuatu pun dari kencing dan kotoran. Sesungguhnya ia (masjid-masjid ini) adalah tempat untuk mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sembahyang dan membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat Muslim)

    Seterusnya, mematuhi seluruh peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak masjid. Ini seperti larangan memakai kasut atau selipar melebihi dari had kawasan yang dibenarkan oleh pihak masjid.

    Oleh itu, hendaklah disimpan kasut dan selipar dengan elok di tempat yang telah disediakan atau yang telah ditetapkan oleh pihak masjid.

    Adalah sesuatu yang elok dan wajar juga untuk membersihkan tapak kasut ataupun selipar sebelum memasuki kawasan masjid.

    Ini bagi mengelakkan masjid dan kawasannya menjadi kotor sekiranya terdapat najis dan sebagainya pada tapak kasut atau selipar.

    Seterusnya, selain menjaga diri supaya tidak mengotori masjid, pengguna masjid juga sewajarnya membudayakan sikap tidak camah mata apabila ternampak kotoran di mana-mana kawasan masjid.

    Elok juga sekiranya para jemaah serta pengguna masjid yang mempunyai kelapangan untuk mengambil sedikit masa merebut pahala dengan membersihkan dan memperelokkan masjid dan seluruh persekitarannya.

    Ini satu amalan yang sangat elok dan patut dibudayakan.

    Aktiviti membersihkan masjid dan kawasannya yang dilaksanakan dari satu masa ke satu masa oleh institusi-institusi, persatuan-persatuan dan seumpamanya adalah satu amalan yang sangat terpuji dan wajar diteruskan serta ditambah kekerapannya.

    Seterusnya, selepas menggunakan masjid untuk suatu majlis atau acara, hendaklah dibersihkan segala sampah sarap, bekas-bekas makanan, minuman dan sebagainya. Begitu juga segala perkakas atau peralatan masjid hendaklah disusun dan dikemas kembali sepertimana asalnya.

    Seyogia juga dipastikan segala perkakas dan peralatan masjid tidak diamai atau diganggu khususnya oleh kanak-kanak bagi menjaga kehormatan masjid serta keselesaan pengguna masjid yang lainnya.

    Akhir sekali, menanamkan sikap bertanggungjawab dengan memastikan tandas dibersihkan selepas digunakan.

    Apabila semua jemaah serta pengguna masjid mengambil inisiatif menjaga kebersihan tandas dan menjaga peralatan dalam tandas di masjid-masjid, segala masalah tandas kotor dan berbau ataupun masalah tandas yang tidak elok atau tidak boleh digunakan akan dapat diatasi.

    Perlu diingat bahawa mengotori, apatah lagi merosak harta benda masjid termasuk perkara yang dilarang dan pelakunya mendapat dosa kerana perbuatan tersebut ditegah oleh agama.

    Tandas yang kotor umpamanya, akan menyukarkan jemaah serta pengguna masjid untuk menunaikan hajat masing-masing. Bahkan bau yang timbul dari masalah tersebut akan mengganggu jemaah serta pengguna masjid.

    Ini akan mengganggu kekhusyukkan bahkan boleh menyebabkan jemaah kurang gemar serta menjauhkan diri daripada mendirikan sembahyang di masjid berkenaan.

    Masjid yang bersih dapat mendatangkan kekhusyukkan kepada para jemaah serta keselesaan kepada seluruh penggunanya. Masjid yang bersih pastinya lebih selesa dan cenderung untuk dimakmuri.

    Apabila masjid bersih dan makmur, bukan sahaja keselesaan dalam beribadat dapat diperolehi, bahkan syiar Islam juga pasti akan menjadi lebih tegak dan terserlah.

    Selain itu, ia juga membuktikan kesungguhan umat Islam dalam mengamalkan ajaran Islam yang sangat mementingkan aspek kebersihan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...