Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memenuhi permintaan sayur di musim sejuk

    MONTPELIER, Vermont, Amerika Syarikat – Didorong oleh permintaan dari ‘hasil ladang terus ke meja’ tidak mengenal musim, jadi para petani di kawasan sejuk di negara ini semakin banyak menggunakan rumah hijau dan struktur yang sama untuk memenuhi permintaan produk tempatan di musim sejuk.

    Walaupun salji dan ais menyelimuti tanah pada bulan Januari di Vermont, namun daun bayam tumbuh bercambah dan tidak beku di dalam ‘terowong tinggi’ – sebuah kandang atau kurungan besar yang ditutup dengan filem plastik yang telah menghangatkan tempat itu melalui sinaran matahari dan terlindung daripada angin kuat.

    “Saya tidak dapat menampung dengan permintaan bayam dari warga,” kata Joe Buley, pemilik Screamin Ridge Farm di Montpelier, yang menanam bayam pada bulan November dan akan menjualnya dalam kira-kira dua minggu lagi.

    Pada kali ini dalam tahun ini, apabila sayur-sayuran dibawa dan diangkut dengan trak dari California dan Mexico, sesetengah pengguna masih memahukan hasil sayur tempatan yang segar.

    “Saya pasti berminat untuk menyokong pertanian tempatan, dan saya sangat suka untuk makan sayur-sayuran pada musim sejuk,” kata Serena Matt daripada Marshfield, Vermont, yang membayar Bear Roots Farm di South Barre, Vermont, lebih awal untuk mendapatkan beberapa ikatan sayur-sayuran hasil daripada ladang itu termasuklah bayam atau ‘baby kale’ dalam dua kali seminggu

    Petani Joe Buley mencabut rumput rumpai yang berada di kawasan penanaman sayur bayam yang berkembang yang berada di terowong tinggi di rumah hijau Screamin Ridge Farm di Montpelier, Vermont. - AP
    Petani Joe Buley mencabut rumput rumpai yang berada di kawasan penanaman sayur bayam yang berkembang yang berada di terowong tinggi di rumah hijau Screamin Ridge Farm di Montpelier, Vermont. – AP

    Kerajaan persekutuan membantu merangsang pertumbuhan pertanian dalam musim sejuk dengan menyediakan bantuan kewangan dan teknikal kepada petani untuk pemasangan ‘terowong tinggi’ bagi meningkatkan lagi penanaman, melindungi tanaman daripada keadaan yang teruk, mengurangkan penggunaan tenaga dan meningkatkan kualiti udara dengan mengurangkan pengangkutan makanan.

    Antara tahun 2010 dan 2016, Jabatan Perkhidmatan Sumber Asli Pemuliharaan Pertanian AS telah membantu pengeluar untuk membina lebih daripada 15,000 ‘terowong tinggi’ di seluruh negara, dengan Alaska mempunyai jumlah yang paling banyak.

    Farm Rohwer di Pleasant View, Colorado, mendapat terowong tinggi pertama mereka dengan saiz 30-72-kaki.

    “Dan ia menghasilkan dengan baik, dan kini kami berjaya untuk membina yang kedua, dan menambah lagi bagi yang ketiga pada tahun lepas,” kata Heidi Rohwer, dengan anggaran kos kira-kira AS$7,000 setiap satunya.

    Hasil daripada ladang kecil dapat membuat penghantaran rutin ke Durango, Colorado, di musim sejuk untuk jualan sayuran kale, salad, lobak merah, arugula dan bok choy.

    “Jika kita tidak menghantar sayur-sayuran yang mencukupi, mereka akan sangat marah,” kata Rohwer. Buley menjangka sayur bayam beliau tidak lama lagi boleh dipetik, apabila matahari semakin tinggi pada bulan Februari.

    “Ia akan cepat membesar dan kami akan menuainya seperti orang gila,”katanya. Sayur tersebut akan menjadi lebih manis dengan mempunyai daun yang tebal, daripada bayam musim panas, oleh kerana cuaca musim sejuk, katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda