HANOI, 19 Sept 2008 – Penyelidik berkata mereka menemui dua memerang hidung berbulu, yang disenaraikan dalam spesies yang jarang ditemui di dunia di taman negara selatan Vietnam.
Ahli sains mendatangi sepasang memerang di taman negara U Minh Ha pada Mac lalu menurut kenyataan dari Karnivor dan Pangolin Conservation Program.
“Kami hanya berada kira-kira dua setengah meter jauhnya dari mereka ketika kami menemui dua memerang tersebut. la sungguh menakjubkan melihat spesies liar yang jarang ditemui itu,” kata pegawai penyelidik, Nguyen Van Nhuan.
Memerang hidung berbulu difikirkan telah pupus pada 1990an. Walau bagaimanapun, sejak itu ia ditemui semula di Kemboja, Thailand dan Indonesia.
Rekod spesies baru-baru ini di Vietnam adalah dari tahun 2000 di wilayah Ca Mau, merupakan tempat asal bagi Taman Negara U Minh Thuong.
Nhuan menggambarkan binatang itu sebagai ‘terkenal dengan pemalu dan kebanyakannya ditemui waktu malam’. Ia memakan ikan, katak, reptilia, ular dan serangga.
“Untuk spesies itu hidup, ia perlu mendapat perlindungan bagi habitat mereka yang berhubung kait dengan tanah paya dan hutan banjir bermusim,” katanya di dalam kenyataan.
Vietnam merupakan tempat tinggal tiga lagi spesies memerang, termasuk memerang berbulu lembut, memerang Eurasia dan memerang kuku kecil.