Memerang ‘takluki’ bandar Singapura

SINGAPURA, 31 MEI – Memerang yang sebelum ini menjadi pujaan pencinta alam di Singapura mula menimbulkan kemarahan orang awam selepas muncul di tempat tidak dijangka dan melakukan kerosakan.

Disebabkan jalan raya lengang, haiwan berkenaan dilihat ‘bersiar-siar’ di kompleks beli-belah, di lobi hospital dan ‘menjamu selera’ dengan ikan mahal yang dicuri dari kolam persendirian.

Walaupun ramai yang menganggap Singapura negara kecil dan padat dengan hutan konkrit, namun republik itu juga memiliki kawasan hutan hijau menarik dan laluan air yang bersih selain terdapat pelbagai hidupan liar.

Dianggarkan terdapat sekitar 90 memerang di Singapura, yang terdiri daripada 10 keluarga.

Penampilan haiwan ini di tempat-tempat pelancongan popular di pusat bandar telah mengubahnya menjadi selebriti tempatan.

Kumpulan memerang ini kerap dilihat selepas orang ramai diminta duduk di rumah dan pejabat ditutup sejak April lalu bagi mengekang penularan COVID-19.

“Apabila berlaku sekatan pergerakan, kenderaan semakin kurang dan ruang di bandar terbuka luas,” kata N Sivasothi, ahli biologi di Universiti Nasional Singapura yang dikenal sebagai ‘Otterman’ kerana kerjanya mengenai haiwan tersebut.

Tetapi kebebasan baharu haiwan ini nampaknya menjadikan ia ini semakin berani dan sekarang menghadapi reaksi balas.

Insiden baru-baru ini membabitkan serangan di kolam spa yang ditutup kerana pandemik. Haiwan itu dilaporkan menelan beberapa ikan termasuk arowana, spesies berharga yang boleh dijual dengan harga puluhan ribu dolar. – AFP

Gambar pada 29 Mei menunjukkan kawanan memerang di sebuah terusan di Singapura. Disebabkan lockdown di Singapura, memerang timbul di kawasan-kawasan tidak dijangkakan yang mencetuskan kemarahan dan sebahagiannya menyeru penyembelihan haiwan itu. – AFP