Oleh Nurdiyanah R.
Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa dalam rumpun bahasa Austronesia yang menjadi bahasa kebangsaan bagi beberapa buah negara seperti Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura, menempatkan bahasa berkenaan sebagai salah satu daripada lima bahasa yang memiliki penutur terbesar di dunia.
Jika dilihat dari segi sejarah, Bahasa Melayu itu mempunyai pelbagai varian dan penamaannya mengikut kemajmukan penuturnya, bahkan Bahasa Melayu tersebut tidak kurang hebat berbanding dengan Bahasa Inggeris.
Sekitar tahun 2015, keadaan Bahasa Melayu di peringkat dunia antarabangsa telah memiliki 174 pusat pembelajaran dan penyebarannya kepada 45 buah negara, namun meski pun situasi jumlah penutur terbesar sedemikian, Bahasa Melayu kini masih belum menjadi bahasa komunikasi antarabangsa bahkan dalam lingkungan negara-negara ASEAN.
Itulah antara yang dikemukakan oleh pemakalah dari Indonesia, Profesor Dr Mahsun M.S., juga selaku guru besar, Bidang Linguistik, Universitas Mataram ketika mengupas tajuk Menduniakan Bahasa Melayu: Peluang dan Tantangannya semasa berlangsungnya siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, baru-baru ini.
Siri pembentangan kali ke-22 ini yang dikendalikan oleh Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP Brunei yang berlangsung secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah, DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Peluang menduniakan bahasa Melayu
Dalam pada itu, Profesor Dr Mahsun menjelaskan terdapat dua faktor yang memberikan harapan besar bagi Bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa komunikasi dunia atau antarabangsa iaitu faktor sejarah Bahasa Melayu itu sendiri dan faktor yang terkait dengan penerimaan Bahasa Melayu menjadi bahasa dunia.
Ujarnya, bagi faktor sejarah, Bahasa Melayu itu mulai tumbuh menjadi bahasa moden sejak abad ke-17 dan sekarang ia memiliki kemampuan daya ungkap berdasarkan senarai kata dalam kamus, seperti dalam KBBI 2012 memuat 90.000 lema dan 450.000 istilah untuk 41 bidang ilmu yang tercatat dalam Glosarium bidang Ilmu. Sementara faktor penerimaan Bahasa Melayu itu di negara-negara lain di mana setakat ini sudah banyak negara yang menyelenggarakan pembelajaran Bahasa Melayu untuk warganya.
Beliau mengongsikan sebagai contoh berdasarkan surat-menyurat dengan KBRI/KJRI pada tahun 2012 – 2013, mendapati 174 pusat pembelajaran Bahasa Indonesia, yang tersebar di 45 negara. Tempat-tempat pembelajaran itu berupa universiti, KBRI/KJRI, dan lembaga kursus. negara-negara yang menjadi tempat pembelajaran Bahasa Indonesia menyebar di benua Asia, Australia, Amerika, Eropah, Afrika dengan kondisi bervariasi.
Cabaran menduniakan bahasa Melayu
Ada dua cabaran utama yang dihadapi Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa pergaulan dunia, iaitu faktor dalaman dan luaran.
Faktor dalaman antaranya berkaitan dengan kondisi geopolitik Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan beberapa negara dengan segala varian dan penamaannya; standardisasi Bahasa Melayu; dan sikap bahasa penuturnya.
Adapun faktor luaran pula merujuk kepada tekanan bahasa asing yang ingin menempatkan diri sebagai bahasa kebangsaan di negara yang berbahasa kebangsaan Bahasa Melayu.
Antara yang disentuh ialah mengenai geopolitis Bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa kebangsaan paling tidak di empat negara yang telah dijelaskan, baik di Brunei, Malaysia, mahu pun Singapura ketiga-tiganya tidaklah menjadi persoalan kerana memberi nama bahasa kebangsaannya dengan nama Bahasa Melayu.
Tambahnya, namun, tidaklah demikian halnya dengan Indonesia, meskipun berakar pada Bahasa Melayu, bangsa Indonesia tidak menyebutkan bahawa bahasa kebangsaannya dengan nama Bahasa Melayu, tetapi diberi nama Bahasa Indonesia. Hakikatnya nama Bahasa Indonesia bukan merupakan nama lain daripada Bahasa Melayu tetapi Bahasa Indonesia menjadi identiti Indonesia yang memiliki ciri kebahasaan yang berbeza dengan Bahasa Melayu varian lainnya.
Standardisasi bahasa mencakupi dua hal, iaitu standardisasi bahasa itu sendiri, dalam hal ini nama bahasanya, dan standardisasi aspek kebahasaannya meliputi ejaan, tatabahasa, dan kosa kata atau istilah.
Hal ini akan menjadi lebih rumit apabila banyak aspek substantif yang kompleks dan sulit direalisasikan disebabkan masyarakat penuturnya sudah menerima secara intuitif dan menjadi bagian daripada kegiatan berbahasa sehari-hari.
Selain cabaran di atas, sikap bahasa penutur Bahasa Melayu itu sendiri yang mana ia terkait dengan dua jenis sikap iaitu positif dan negatif. Sikap positif merupakan sikap penutur yang selalu mengutamakan bahasanya untuk digunakan. Sikap positif ini akan mempengaruhi penutur lainnya, jika sikap tersebut ditunjukkan oleh penutur yang memiliki kedudukan atau posisi sosial yang lebih berwibawa dan begitulah jika berlaku sebaliknya.
Namun demikian, bukan bererti beratnya cabaran tersebut, peluang menjadikan Bahasa Melayu menjadi bahasa dunia menjadi tipis atau kecil namun perkara berkenaan tidaklah mustahil jika kita bersatu melaksanakan strategi integratif dan padu dalam memartabatkan Bahasa Melayu di negara-negara yang berbahasa kebangsaan tersebut secara dalaman dan juga luaran demi sama-sama memperluaskan lagi jumlah jangkauan keindahan Bahasa Melayu di negara-negara yang tidak berbahasa kebangsaan tersebut.
Seramai 161 orang menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.