(Siri satu)
1. Meningkatkan konsentrasi
ADA masanya kita perlu memberi sepenuh tumpuan kepada tugas yang memerlukan konsentrasi kita. Bagaimana kita melakukannya?
Cari tempat yang sunyi.
Kita ikhtiarkan supaya mendapat ruang kosong di jabatan kita. Kita boleh bekerja di rumah bagi satu hari ataupun sampai awal pagi supaya kita dapat bekerja dengan aman.
Sediakan suasana yang sesuai bagi diri kita.
Lakukan yang terbaik bagi mengawal suasana tempat kerja kita. Sesetengah orang suka persekitaran yang berlatarkan muzik kerana ini membantu konsentrasi mereka. Ramai juga yang hanya dapat bekerja dalam keadaan senyap dan sepi.
Buat persiapan rapi.
Kumpulkan semua maklumat yang kita perlukan sebelum memulakan kerja yang memerlukan konsentrasi. Kerja mengumpul maklumat sepatutnya dilaksanakan pada masa yang tidak memerlukan tumpuan serius.


Melakukan kerja-kerja rutin biasa membazirkan masa dan menyusahkan, sekiranya kita melakukannya pada masa kita dapat memberi konsentrasi sepenuhnya.
Jaga masa kita yang paling produktif.
Kita tahu waktu terbaik kita bekerja. Jaga waktu itu supaya kita dapat melakukan kerja produktif.
Tinggalkan tugas remeh ke hari lain.
Kerja-kerja biasa yang remeh dan tidak memerlukan konsentrasi boleh ditangguhkan buat sementara.
Beri ganjaran kepada diri sendiri.
Sekiranya perlu, beri ganjaran kepada diri kita. (Misalnya, memotong rambut dengan gaya baru). Dengan cara ini, kita mendapat sesuatu yang memberi kita keseronokan selepas bekerja bersungguh-sungguh.
Cas bateri semula.
Cuba berehat selama 10 minit selepas 50 minit bekerja. Ini memberi peluang kepada kita memproses dan memahami perkara yang kita fikirkan.
Kita mungkin juga berjaya mendapat solusi kepada beberapa soalan yang berbangkit sewaktu kita berkonsentrasi membuat kerja.
Kita perlu tahu waktu paling produktif bagi kita bekerja. Jaga waktu itu sebaik mungkin.
2. Meningkatkan keyakinan diri
Dalam bidang perniagaan, kita perlu memfokuskan minda dan personaliti kita supaya berkeyakinan dan berani. Ini adalah penting, terutama sekali apabila kita mempunyai semangat mahu berjaya dalam usaha kita, dan mencapai impian kita.
Berikut adalah beberapa cara yang dapat membantu kita menjadi bertambah yakin:
Berfikiran positif.
Daripada asyik merungut berkenaan kurangnya keyakinan yang ada pada diri kita, kita perlu berazam menjadi positif. Beri perhatian lebih kepada elemen-elemen positif dalam kerja kita, isu yang perlu kita selesaikan, kehidupan kita dan kualiti-kualiti yang ada pada diri kita.
Kenal personaliti kita.
Kita boleh mendengar pendapat orang lain berkenaan kita, tetapi jangan terpengaruh olehnya. Kita adalah individu tersendiri dengan ciri-ciri peribadi kita sendiri.


Bina peribadi kita.
Berwawasan tinggi dan seboleh-bolehnya sesarkan kea rah kualiti kejujuran dan integriti.
Bina kemahiran kita.
Jangan terus berdiam diri di tempat sama. Cuba berazam menjadi orang yang menonjol dalam kalangan pekerja yang lain. Sekiranya kemahiran kita dalam membuat persembahan kurang memuaskan, kita perlu menghadiri latihan bagi mempertingkatkannya.
Percaya kepada diri sendiri.
Fikirkan berkenaan diri kita, dan berbangga dengan siapa kita dan apa yang kita lakukan. Orang akan perasan apabila kita sebagai seorang jurujual tidak yakin dengan produk jualan kita sendiri. Kita perlu yakin dengan peribadi kita, serta kemahiran, produk, dan khidmat yang kita tawarkan.
Buat persediaan rapi.
Ingat kata-kata ini, “Sekiranya kamu gagal membuat persediaan, kamu bersedia untuk kegagalan”.
Berfikir dan buat persiapan yang bersungguh-sungguh sebelum membuat persembahan.
Kaji maklumat latar belakang dengan terperinci. Bayangkan diri seperti itik di kolam yang bergerak perlahan-lahan di atas air.
Di bawah permukaan air, kakinya mengayuh tanpa berhenti. Jangan abaikan persiapan asas serta belajar teknik-teknik terkini dan sistem-sistem baru.
Sasarkan bahagian-bahagian yang bermasalah.
Tumpukan kepada aspek-aspek kehidupan dan kerjaya kita yang menggerunkan kita. Namun, jangan asyik dengan hal-hal negatif. Fokus kepada yang positif. Bayangkan diri kita sebagai orang yang berkeyakinan dan ini adalah satu langkah ke tahap itu. Ubah diri kita sebagaimana yang kita impikan.
Fokuskan minda dan seluruh diri kita kepada bahagian-bahagian dalam kehidupan kita di mana kita kurang berkeyakinan, dan suntikkan dengan nilai-nilai positif.
“Keberanian dalam perniagaan adalah perkara pertama, kedua dan ketiga.” – Thomas Fuller (1654-1734), pakar perubatan dan penulis berbangsa Inggeris.