Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Memilih saiz spinning reel untuk pancingan estuari

    Oleh Raz AS

    Estuari atau muara merupakan badan air di mana air tawar dari sungai dan jeram bertemu dengan air masin dari laut.

    Di sini, tahap kemasinan airnya tidaklah semasin dengan air laut, dan akan berkurangan semakin jauh ke hulu atau dalam erti kata orang kita, airnya bahal.

    Kawasan air bahal mempunyai pelbagai kombinasi spesies ikan menarik yang seronok untuk dipancing. Kadang-kadang tidak kurang juga ada sesetengah spesies ikan air masin dari laut yang boleh ditangkap di kawasan tersebut. Oleh itulah ramai pemancing di seluruh dunia sangat menggemari pancingan estuari.

    Disebabkan kedudukan negara kita yang terletak di bahagian pesisir pantai Borneo, sebahagian besar daripada sungai-sungai kita adalah estuari, jadi boleh dikatakan kebanyakan pemancing di negara ini lebih banyak melakukan pancingan estuari.

    Bagi pancingan estuari di negara ini, selain penggunaan baitcaster yang lebih popular dalam kalangan pemancing yang menggunakan teknik casting, spinning reel merupakan pilihan utama dan yang paling popular sekali digunakan disebabkan penggunaanya yang sangat mudah dan versatil.

    jauh lebih besar daripada yang diperlukan. – Agensi
    Sistem penomboran saiz spinning reel bukanlah ukuran standard industri. Oleh itu kita akan mendapati sesetengah reel akan mempunyai nombor saiz yang berbeza namun mempunyai ukuran yang hampir sama, atau nombor saiz sama dengan ukuran yang jauh berbeza. – Agensi

    Bercakap mengenai spinning reel, seperti yang biasa kita lihat di pasaran, spinning reel datang dalam pelbagai saiz daripada yang kecil sehinggalah yang besar, selalunya diklasifikasikan dengan nombor 1000, 2000, 2500, 3000 sehinggalah 30,000 dan ke atas. Namun terdapat juga pengilang yang mengeluarkan model yang mempunyai pilihan yang lebih kecil seperti saiz 500 dan 800.

    Tidak kurang juga ada sesetengah spinning reel yang diklasifikasikan mengikut sistem penomboran pengilang masing-masing, seperti 10,20,30 dan lain-lain.

    Akan tetapi sebenarnya ia masih lagi merupakan sistem penomboran yang lebih kurang sama, yang mana saiz 10 bersamaan dengan 1000; 20 dengan 2000; 25 dengan 2500 dan seterusnya.

    Saiz spinning reel yang selalu kelihatan adalah daripada saiz 1000 ke saiz 5000, dengan saiz yang disyorkan digunakan untuk pancingan estuari secara global adalah saiz 2500 dan 3000, bergantung pada kegunaan, teknik dan spesies buruan masing-masing.

    Kadang-kadang saiz 4000 akan digunakan namun atas alasan yang akan diterangkan oleh penulis seterusnya.

    Kebanyakan pemancing yang memancing di kawasan estuari menggunakan spinning reel yang jauh lebih besar daripada yang diperlukan, bukan tidak boleh, kerana tidak kira besar badak mana pun spinning reel tersebut ikan boleh sahaja dinaikkan akhirnya.

    Akan tetapi ia bukan saja ‘overkill’ untuk kebanyakan spesies estuari dan berat dipegang jadi kurang selesa menggunakannya, malah juga boleh menjadi pembaziran kepada pemancing, kerana selalunya semakin besar saiz reel itu semakin mahal lah ia dan semakin banyak tali yang perlu dimasukkan untuk mengisikan spoolnya, meskipun hakikatnya kurang 1/4 daripada tali tersebut akan digunakan.

    Spinning reel saiz 2500 dan 3000 sebenarnya sudah cukup memandai dari segi kekuatan dan isi talinya untuk menewaskan spesie-spesies estuari dengan pelbagai teknik.

    Tambahan lagi ia ringan dan lebih mesra pemancing, lebih-lebih lagi sekiranya pemancing sentiasa memegang joran di tangan atau membuat lontaran berulang-ulang.

    Tidak terlalu kecil, tidak terlalu besar.

    Sekiranya menggunakan reel yang terlalu kecil pula, masalahnya ia tidak akan tahan lama kerana gear spinning reel bersaiz kecil tidak direka untuk menarik beban yang berat sekirannya ikan bersaiz kasar memakan umpan.

    Secara amnya spinning reel 2500 dan 3000 mempunyai saiz ukuran badan dan spesifikasi yang sama, cuma bezanya reel saiz 3000 mempunyai ukuran spool yang lebih besar sedikit berbanding 2500, yang mana ia mampu mengisikan lebih banyak tali.

    Jadi jika awda menginginkan spinning reel yang ringan agar tidak mudah lenguh dipegang, terutama jika membuat lontaran berulang kali, tetapi masih mahukan banyak tali atas sebab-sebab yang tertentu saiz 3000 merupakan pilihan yang lebih baik berbanding saiz 2500.

    Sebaliknya jika awda tidak memerlukan tali yang banyak, saiz 2500 adalah pilihan yang lebih wajar.

    Namun begitu, perlu diketahui bahawa sistem penomboran bagi saiz spinning reel bukanlah ukuran standard industri bahkan ia hanyalah sekadar panduan daripada pihak pengilang itu semata-mata.

    Oleh itu jika kita lihat pada informasi produk atau katalog daripada pengilang-pengilang mengenai produk spinning reel mereka atau membuat perbandingan dengan mata kepala sendiri, kita akan mendapati bahawa spinning reel daripada satu pengilang itu, dengan nombor saiz yang tertentu, tidak akan mempunyai ukuran yang sama dengan spinning reel, dengan nombor saiz yang sama, daripada pengilang yang lain.

    Contohnya sahaja, Shimano terkenal dengan saiz spinning reelnya yang selalunya lebih kecil berbanding jenama lain, seperti Shimano Stradic 4000 mempunyai ukuran badan yang hampir sama dengan Daiwa Saltist 3000.

    Jika dibandingkan kedua-dua reel tersebut, ia sebenarnya daripada kelas yang sama dengan isi kandungan tali yang juga hampir sama meskipun nombor saiznya berbeza.

    Stradic 4000 mampu mengisikan tali braided 30lb sepanjang 180 ela, manakala Saltist 3000 pula mampu mengisikan lebih banyak tali iaitu sepanjang 190 ela untuk tali braided 30lb.

    Meski secara teorinya saiz 3000 itu “sepatutnya” lebih kecil daripada 4000 tetapi kenyataannya nombor saiz bukanlah sukat-sukat yang 100 peratus boleh dipegang.

    Bukan itu sahaja, bahkan ukuran antara sesuatu model spinning reel itu tidak semestinya akan sama dengan model lain yang dikeluarkan oleh pengilang yang sama.

    Contohnya, Daiwa BG 2500 mempunyai ukuran yang sedikit lebih besar berbanding Daiwa Fuego 2500 meskipun kedua-duanya ditandakan dengan nombor saiz 2500 oleh Daiwa.

    Daiwa BG mempunyai mekanisme gear yang lebih tegap dan boleh memuatkan tali yang lebih banyak atau lebih tebal.

    Ini disebabkan tujuan reel tersebut direka khas untuk kaedah pancingan yang lebih agresif, seperti untuk memburu ikan yang lebih bertenaga atau bersaiz besar atau digunakan di kawasan berstruktur. Manakala Daiwa Fuego pula adalah untuk teknik pancingan yang lebih halus atau finesse fishing.

    Demikian itu selain melihat spesifikasi melalui katalog, cara terbaik untuk mendapatkan spinning reel dengan ukuran saiz yang anda mahukan adalah dengan datang sendiri ke kedai pancing di mana anda boleh melihat dan memegangnya, merasai beratnya di tangan, kelancarannya ketika handle diputar, membuat perbandingan dengan reel seangkatannya yang lain, atau boleh juga melihatnya daripada rakan-rakan yang ada memiliki reel tersebut.

    Dengan itu anda boleh menyesuaikan sekiranya spinning reel daripada sesuatu jenama yang anda miliki itu bersaiz 3000, mungkin daripada model dan jenama lain saiz 2500 sudah mencukupi atau sebaliknya perlu mendapatkan sehingga saiz 4000, kerana spesifikasinya yang sama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...