Meminta bantuan demi kebaikan atau kesempatan?

Oleh Adiiwira

Semenjak penutupan pawagam-pawagam dan pusat-pusat hiburan bagi membendung penularan wabak COVID-19, banyak aktiviti-aktiviti hiburan seperti konsert, penggambaran filem dan sebagainya terpaksa dihentikan seketika.

Malah banyak filem-filem baharu yang dijadualkan pelancarannya sebelum penularan wabak ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditentukan. Namun, dengan adanya drama-drama baharu yang sudah lama menamatkan penggambarannya mula disiarkan di beberapa buah siaran televisyen bagi membantu orang ramai agar tidak merasa bosan sepanjang mengawal pergerakan harian bagi menjaga diri daripada terkena jangkitan.

Ruangan minggu ini akan menyentuh dua buah drama baharu yang ketika ini disiarkan dan akan bakal disiarkan pada tahun ini. Dua buah drama tersebut ialah dram The Gadis yang disiarkan di TV3 dan drama Dia Bidadari dari Syurga yang bakal disiarkan di rangkaian saluran RTM.

Menyentuh pada drama pertama yang merupakan arahan salah seorang pelakon wanita yang terkenal iaitu Liyana Jasmay yang cerita asalnya dibuat oleh Adriana Jasmay dan Faten Syamimie sebagai penulis skripnya. The Gadis menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada Yuna Rahim, Fatin Afeefa, Erynne Erynna, Syafie Naswip dan Hun Haqeem.

Drama ini menceritakan tentang kisah sekumpulan gadis dari kampung yang ingin mengubah hidup masing-masing. Lina (Erynne) dan Lisa (Yuna) tinggal bersama ayah mereka, Nad (Fatin) bersama Nek Timah. Kepulangan Nad ke kampung, menarik perhatian ramai terutama Lisa kerana semakin cantik dan hidupnya kelihatan mewah. Lina bertauh kasih kembali dengan bekas kekasihnya Shazman (Syafie), tetapi ibu Shazman lebih menyukai Nad kerana merasakan dia sesuai dengan anaknya yang berkelulusan tinggi. Nad mengajak Lisa ke Kuala Lumpur (KL), jika dia ingin menjadi sepertinya. Adakah Lisa akan mengikuti kata hatinya? Apa yang bakal menanti dia di KL?

Antara barisan pelakon dalam drama The Gadis. – Agensi
The Gadis yang diterbitkan oleh Mermaid Studios Sdn Bhd memiliki tujuh buah episod yang mula ditayangkan pada 10 April lalu dalam slot Lestary TV3. – Agensi
Drama Dia Bidadari Dari Syurga diadaptasi dari novel karya Syamnuriezmil yang menggandingkan Halim Radzi dan Sharifah Husna. – Agensi

Dalam episod pertama drama ini, menceritakan Lisa lambat lagi hadir ke sekolah tetapi seperti biasa, kawan baiknya Rocky (Puteri Amira) memberi bantuan. Musuh ketat Lisa di sekolah, Mei Fen menjadi cabaran utama untuk merebut wang tunai biasiswa. Lina di rumah buntu kerana wang tidak cukup untuk membeli keperluan rumah. Perasaan buntunya ditambah dengan perasaan risau apabila mendapat tahu rumah Nek Timah dirompak.

Lina menjenguk Nek Timah dan bertembung dengan kekasih lamanya, Shazman. Lisa ditegur Nad, kawan lama Lina dan juga cucu kepada Nek Timah. Lina nampak lusuh dan dia asyik bertanya kepada Nad tentang kehidupannya di KL. Nad kemudian ke rumah mencari Lina, namun Lina tiada. Dia mengajak Lisa keluar makan. Nad menerima panggilan dan mesej dari lelaki bernama Mika.

Daripada sinopsis dan episod pertama drama ini, penulis dapat melihat watak-watak utama ini digerakkan secara perlahan mengikut tahap-tahap (plot) jalan cerita drama berkenaan. Di mana, drama ini dimulakan dengan menumpukan dua watak (Lisa dan Lina) digambarkan sebagai watak gadis kampung yang memiliki masalah mereka sendiri yang berniat untuk mengubah hidup masing-masing.

Dalam hal ini, penulis berpendapat dua watak ini diletakkan dalam keadaan sifar kerana watak ini diibaratkan tidak memiliki apa-apa dan ingin melakukan perubahan. Justeru, langkah dua watak ini menuju perubahan apabila watak Nad ditonjolkan untuk membantu pergerakan dua watak tadi melangkah mengikut peringkat-peringkat plot penceritaannya. Hal ini kerana Nad digambarkan sebagai watak yang kelihatan hidupnya mewah dan berkelulusan tinggi dan tinggal di KL. Dengan gambaran pada Nad tersebut akan membantu mengubah watak Lisa dan Lina.

The Gadis yang diterbitkan oleh Mermaid Studios Sdn Bhd memiliki tujuh buah episod yang mula ditayangkan pada 10 April lalu dalam slot Lestary TV3 disiarkan setiap hari Rabu hingga Jumaat pada pukul 9 malam.

Drama Dia Bidadari Dari Syurga merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada novel karya Syamnuriezmil yang menggunakan nama yang sama. Drama ini diarahkan oleh Izzman Hafiz dan diterbitkan oleh Sazawan Supply Sdn Bhd yang memiliki 20 buah episode akan disiarkan pada bulan Ogos ini di saluran RTM.

Drama ini menampilkan gandingan Halim Radzi yang memegang watak Naqib Zakuan dan Sharifah Husna sebagai Marissa Aisya. Dia Bidadari Dari Syurga menceritakan tentang Marissa Aisya atau Aris seorang graduan dari Melbourne University, Australia tiba-tiba disuruh jadi tea lady di syarikat milik ayahnya. Tanpa banyak soal Marissa ikutkan saja kehendak ayahnya kerana dia mahu jadi anak yang taat kepada ayahnya. Hal ini kerana hanya ayahnya saja yang tinggal dan arwah ibunya sudah lama meninggal dunia. Di pejabat, dia sering dibuli oleh Naqib Zakuan, jurutera berlagak yang telah lama bekerja di syarikat ayahnya.

Zakuan yang baru putus cinta dengan Maisarah, sudah berjanji dengan ibunya yang dia mahu membawa balik kekasihnya ke Sungai Petani minggu itu. Daripada hendak menyebut nama Maisarah, tersebut nama Marissa. Tak pasal, Marissa kena jadi kambing hitam. Terpaksalah Zakuan membuat rancangan untuk memerangkap Marissa mengikutnya ke Sungai Petani berjumpa dengan ibunya.

Selepas diugut, Marissa akhirnya bersetuju untuk menolong Zakuan. Namun Marissa pecah rahsia kerana tidak mahu memberi harapan palsu pada ibu Zakuan yang di telah dijodohkan dengan calon pilihan arwah ibunya. Sekali lagi Zakuan patah hati. Berjayakah Zakuan melupakan Marissa yang sudah dia anggap bidadarinya? Atau, mengejar cintanya walaupun Marissa sudah mahu berkahwin?

Dalam drama kedua ini, penulis berpendapat watak utama wanita merupakan penggerak watak utama lelaki kerana menjadi batu loncatan. Di mana, watak Marissa dijadikan sebagai kambing hitam untuk memenuhi janji Zakuan kepada ibunya bagi menemukan kekasihnya yang sebenarnya baru saja putus cinta. Justeru, penulis melihat kedua-dua watak ini pada mulanya digambarkan tidak sefahaman, setelah Marissa membantu Zakuan untuk tidak menghampakan ibunya barulah timbul keserasian antara mereka dan perasaan cinta Zakuan kepada Marissa mula timbul.

Namun apabila Marissa pecah rahsia kerana tidak mahu memberi harapan palsu pada ibu Zakuan dan dikhabarkan hendak berkahwin dengan calon pilihan arwah ibunya, pergerakan plot penceritaan mula mengikut tahap-tahap penceritaannya sebagaimana apakah yang dilakukan oleh Zakuan mengenai perasaan cintanya kepada Marissa.

Secara kesimpulannya, melalui kedua-dua drama yang dijelaskan dapat dikatakan kedua-dua drama ini menggunakan salah satu watak utamanya sebagai penggerak plot penceritaan bagi watak utama yang lain. Di mana, dalam drama The Gadis watak Nad yang membantu watak Lisa dan Lina untuk merubah nasib hidup mereka di KL dan pada drama Dia Bidadari Dari Syurga, watak Marissa yang menggerakkan watak Zakuan agar janji kepada ibunya ditunaikan.

Namun, dalam The Gadis watak Nad dimanfaatkan secara positif demi mengubah nasib tetapi berbeza pula dengan Dia Bidadari Dari Syurga lebih memanfaatkan secara negatif dengan mengambil kesempatan dalam kesempitan kerana watak Marissa terpaksa menjadi kambing hitam demi kepentingan diri Zakuan.