Memohon dipermudahkan peperiksaan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sebagai persiapan menjelang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Program Curahan Ilmu (tuisyen percuma) bagi pelajar Tahun 6 yang akan menduduki Peperiksaan PSR telah mengadakan sembahyang Sunat Hajat bagi murid-murid Tahun 6 yang berlangsung di Dewan Pusat Pembangunan Belia, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Program berkenaan dikendalikan oleh Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor dan Teachmeguru, Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim, ahli-ahli MPK Panchor dan para ibu bapa peserta program.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang dipimpin oleh Awang Sofiyan bin Haji Abdul Kahar diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan bacaan doa khusus untuk persediaan Peperiksaan PSR beramai-ramai.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada majlis itu turut berkesempatan menyampaikan ucapan yang antara lain menyeru pelajar yang akan menduduki Peperiksaan PSR untuk terus bersemangat dalam pembelajaran bagi mencapai keputusan yang cemerlang nanti. Seramai 52 orang pelajar Program Curahan Ilmu akan menduduki Peperiksaan PSR pada tahun ini.

Sembahyang Sunat Hajat berjemaah tersebut bertujuan untuk mendidik para pelajar agar sentiasa memohon pertolongan dan keredaan Allah SWT dalam setiap usaha bagi memperoleh keberkatan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir pada majlis tersebut.