BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Bagi memohon keberkatan daripada Allah S.W.T agar para pelajar dapat memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali telah mengadakan majlis keagamaan, kelmarin.
Majlis keagamaan itu diisikan dengan sembahyang Sunat Hajat, membaca Surah Yasin dan Doa Khas bagi Pelajar-Pelajar Tahun 8, 10S1 dan Tahun 11 yang akan menduduki Peperiksaan SPE, IGCSE dan BGCE O’ Level 2017 pada bulan Oktober ini.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang telah diimamkan oleh Awang Masrol Azami bin Abdullah diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin dan Doa Khas menghadapi peperiksaan serta diteruskan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah.
Aktiviti yang merupakan kegiatan tahunan pihak sekolah bersama dengan Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) itu diakhiri dengan penyampaian wakaf daripada Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Kewangan, Awang Abdul Halim bin Haji Bujang kepada imam Masjid Kampung Salambigar.

