BUENOS AIRES – Kelihatan bola sepak di mana separuh daripada kulitnya telah terkeluar, kotak guli, anak patung yang sudah koyak dan beberapa jenis kereta-kereta kecil tersusun rapi di atas sebuah almari di Muzium Evita seperti barangan peninggalan zaman kuno.
Alat permainan ini memainkan peranan penting dalam gerakan perintis Peron di Argentina, salah satu gerakan paling berpengaruh di rantau Amerika Latin.
Lama sebelum ahli politik itu mula menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pandangan umum, gerakan politik Juan Peron dan isteri keduanya telah cuba mempengaruhi pengundi dengan menerapkan unsur peribadi, iaitu menyerahkan alat permainan kepada 4 juta kanak-kanak dari kalangan keluarga miskin di Argentina.
Amalan tersebut menjadi asas kepada populariti dan sokongan tanpa syarat yang dibangkitkan oleh Argentina terhadap Peron, setelah kematian Peron dan isterinya, Eva Maria Duarte atau lebih dikenali sebagai Evita serta dipuji oleh para penyokongnya sebagai ‘juara kepada rakyat miskin’.
Bagi menandakan ulang tahun ke-100 kelahiran tokoh itu pada 7 Mei 1919, Muzium Evita di Buenos Aires telah merasmikan satu pameran yang bertajuk ‘Childhood and Peronism, The Toys of The Eva Peron Foundation’. Pameran itu memaparkan beberapa dozen permainan yang pernah diedarkan kepada kanak-kanak miskin setiap kali menjelangnya sambutan Hari Krismas dan Percutian Epiphany antara tahun 1948 dan 1955.
“Kanak-kanak sentiasa diberikan perhatian khusus dalam kerja harian Eva, terutama sekali perkara yang berkaitan dengan hak kanak-kanak,” kata Marcela Genes, kurator muzium kepada media The Associated Press. “Dia sendiri meluangkan masa bersama kanak-kanak yang miskin dan tinggal bersama dengan mereka. Mencapai keadilan untuk kanak-kanak adalah fokus utama buat Eva,” tambahnya kepada media.
Cabaran dan rintangan
Juan Peron, jeneral tentera, berkhidmat sebagai presiden untuk dua rentang yang berbeza. Peron pertama kali memegang jawatan itu pada tahun 1946 dan memenangi semula pemilihan jawatan tersebut pada tahun 1951 dengan kemenangan sekitar 63.8 peratus undi yang dianggap paling tertinggi dalam sejarah undian di Argentina.
Pada penggal kedua di tahun 1952, setelah dibayangi dengan kematian Evita ketika berusia 33 tahun akibat kanser rahim, Peron telah digulingkan selepas tiga tahun kemudian oleh rampasan kuasa tentera. Selepas 18 tahun, Peron telah kembali semula dan mengambil kuasa pemerintahan Argentina pada tahun 1973. Peron telah berkhidmat sehinggalah kematiannya pada tahun 1974 dan digantikan oleh isterinya, Isabel Peron, yang telah digulingkan oleh rampasan pihak tentera pada tahun 1976.
Meninggalkan sesuatu yang bermula dengan rendah hati, Evita telah datang di Buenos Aires ketika di usia remaja. Dia bekerja sebagai seorang pelakon sehinggalah dia bertemu dengan Peron semasa satu festival yang diadakan untuk mengumpulkan dana bagi mangsa gempa bumi Argentina pada tahun 1944.
Setelah dia menjadi isteri kepada Peron, Evita telah menubuhkan Yayasan Eva Peron selepas dia dihalang daripada mengetuai Masyarakat Amal Buenos Aires, sebuah organisasi yang dibentuk oleh wanita kelas atasan di mana secara tradisionalnya akan melantik wanita pertama sebagai presiden organisasi tersebut. Banyak kanak-kanak telah menerima hadiah permainan tersebut dari tangan Evita sendiri, sementara yang lain pula mengambilnya di pejabat pos di seluruh negara.
Jiwa kemasyarakatan
Satu benda yang dipamerkan di muzium itu adalah satu set kereta api timah. Agak berkarat namun ia mempunyai nilai sentimental yang besar buat Saul Macyszyn yang kini berusia 80 tahun. Tujuh dekad yang lalu, ia membantu dirinya untuk pulih selepas kemalangan sehingga menyebabkan dia kehilangan satu lengan dan lumpuh di lengan yang lain serta di kedua-dua kaki.
Macyszyn tercekik apabila dia mengimbas kembali waktu di mana Evita mengunjunginya di hospital selepas sahaj menjalani pembedahan kali yang ketujuh.
“Saya melihat banyak doktor dan jururawat datang ke arah saya, Evita pula berada di tengah-tengah mereka, bersama dengan jurugambar, ia seperti jatuh dari langit,” katanya kepada media.
Pertama, Evita mengucapkan selamat kepada ibu bapanya, kemudian dia menghampiri katilnya dan berkata, “Lihat, Saul, awak tidak akan dapat menjadi seorang pekerja seperti ayah awak, tetapi awak perlu belajar. Yayasan ini akan memberikan awak biasiswa,” kata Evita kepada Saul.
Macyszyn berkata bahawa kemalangan itu menyebabkan dirinya terpinggir, kerana lengan yang dipotong ketika itu sangat mengerikan. Set kereta api timah yang diterimanya dari Evita berkhidmat sebagai jambatan bersama dengan kanak-kanak yang lain.
“Semua orang di kawasan kejiranan saya akan datang, membuatkan saya lebih banyak kawan dan merasakan kebahagian sebagai seorang kanak-kanak,” katanya kepada media.
Yayasan itu masih diteruskan walaupun selepas kematian Evita sehinggalah rampasan dilakukan bagi menggulingkan Peron.
Pengkritik Peron menuduh pergerakan itu sebagai salah satu teknik meraih kutipan undi dari golongan miskin dengan mempromosikan mobiliti sosial melalui pembaharuan struktur yang berterusan. Tetapi jauh dari perdebatan politik, persona Evita telah melampaui masa dan juga sempadan.
Daya tarikan dari seluruh dunia bermula pada tahun 1970an dengan muzik Evita yang dihasilkan oleh Andrew Llyod Webber.
Kemudian filem Alan Parker yang dibintangi oleh Madonna diikuti oleh pakaian Evita yang dipamerkan di Muzium Seni Metropolitan New York sebagai sebahagian daripada pameran Christian Dior. Muzium Evita menarik sehingga puluhan ribu pelancong setiap hari.
Seorang pengunjung yang baru-baru ini mengunjungi muzium tersebut, Paola Jaque dari Chile meluahkan rasa kagum.
“Pelbagai permainan dan surat yang ditulis oleh kanak-kanak untuk meminta jenis permainan telah mencuri perhatian saya,” kata Jaque. “Dia menjawab secara peribadi, yang saya tidak percaya tidak akan berlaku lagi sekarang,” tambahnya kepada media. – AP