Mempercepatkan peralihan tenaga

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein mengetengahkan pentingnya untuk mempercepatkan peralihan tenaga dan bagi ASEAN untuk mencapai dua sasaran utama menjelang 2025.

Ia termasuk mengintegrasikan 23 peratus bahagian tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan 32 peratus dalam intensiti tenaga seperti yang digariskan di bawah Fasa II Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) untuk 2021-2025.

Perkara itu dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2021 yang diadakan secara maya bermula hari ini hingga 16 September selari dengan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM).

Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, hari ini, forum yang diadakan di bawah pengerusi Negara Brunei Darussalam itu dianjurkan bersama Kementerian Tenaga, Autoriti Petroleum Brunei Darussalam, Pusat ASEAN untuk Tenaga (ACE) dan DMG Events.

AEBF 2021 mengetengahkan persidangan strategik peringkat tinggi selama tiga hari dengan tiga tema berbeza setiap hari iaitu Visi Kemapanan Tenaga ASEAN, Mempercepatkan Peralihan Tenaga ASEAN dan Net Zero solutions and Country Investment Briefings.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny semasa berucap pada Forum AEBF. – Gambar serahan Kementerian Tenaga

Forum itu merupakan sebuah platform untuk membincangkan strategi bagi mengemudi dinamik global masa kini, pelajaran yang dipelajari dan pertumbuhan industri, mempromosikan kerjasama strategik, peluang-peluang pelaburan serta meningkatkan kolaborasi industri serantau dan global.

Acara itu turut menyaksikan lebih 50 pameran kepakaran serta jenama antarabangsa, serantau dan tempatan.

Semasa acara itu, agenda forum turut menyaksikan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya yang juga pengarah urusan interim Autoriti Petroleum Brunei Darussalam mengongsi pandangan dan perspektif rancangan peralihan tenaga dan strategi petroleum Brunei Darussalam.

Haji Azhar juga mengongsikan yang Brunei berada pada kedudukan kelapan dalam kalangan negara Asia dalam Indeks Peralihan Tenaga (ETI).

Tumpuan peralihan tenaga itu adalah selaras dengan pelan strategik lima tahun Kementerian Tenaga Negara Brunei Darussalam.

Forum itu juga akan menghoskan Dialog Menteri-menteri dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif di mana ia akan dikendalikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman yang juga pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

Dialog itu akan mengetengahkan penyertaan ketua-ketua pegawai eksekutif dari sektor tenaga Brunei termasuk Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd (BLNG), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.