Memperingati Hari Kajicuaca Sedunia 2020

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Berdasarkan data daripada Atlas of Mortality and Economic Loses from Weather, Climate and Water Extremes 1970-2019 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO), jumlah kejadian bencana antara 1970 dan 2019 telah meningkat lima kali ganda, manakala kerugian ekonomi pula meningkat lebih tinggi sehingga tujuh kali ganda.

Walau bagaimanapun, jumlah korban jiwa telah menurun hampir tiga kali ganda sejak 1970, satu penurunan hasil amaran awal dan strategi pengurangan risiko bencana yang semakin bertambah baik.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof berkata, keupayaan pengeluaran amaran awal adalah hasil daripada berbagai kemajuan teknologi dan juga hasil penyelidikan yang dibuat berdekad-dekad lamanya. “Perkembangan dari segi penggunapakaian kaedah Artificial Intelligence seperti penggunaan supercomputers dan teknologi satelit telah banyak membantu dalam dua penyediaan ramalan yang lebih cepat dan tepat.”

“Penyelidikan telah dapat memberikan khidmat-khidmat mengikut kehendak para pengguna. Manakala kemajuan teknologi perhubungan seperti telefon bimbit telah membolehkan penghantaran amaran awal dengan lebih cepat dan pada jarak pencapaiannya sehingga ke kawasan yang terpencil,” ujar beliau dalam perutusannya Sempena Memperingati Hari Kajicuaca Sedunia 2022 yang disambut setiap 23 Mac.

Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), tambah beliau, juga menitikberatkan penggunaan sistem amaran awal dalam pemberian amaran cuaca kepada orang awam di mana amaran cuaca berkod warna merupakan kaedah yang telah digunakan sejak 2010.

Kaedah yang sama juga digunakan oleh kebanyakan negara-negara ahli WMO dan ianya merupakan satu kaedah yang senang difahami dan sangat efektif. Penyediaan amaran cuaca berkod warna itu juga dihasratkan untuk mendukung usaha Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam membuat sebarang penyelarasan dengan agensi-agensi berkaitan dalam mena-ngani isu-isu berkaitan dengan bencana kebangsaan.

“Ini termasuk meningkatkan kesiapsiagaan orang awam untuk sentiasa peka akan risiko bencana dan mengetahui tindakan awal yang perlu diambil ketika menghadapi bencana.”

Di samping itu, Taklimat Cuaca Kebangsaan (NWB) juga dikendalikan oleh BDMD empat kali setiap tahun yang merupakan program untuk kumpulan para pengguna yang meliputi kumpulan keselamatan dan first responder, industri dan ekonomi serta media massa.

Program itu, antara lainnya membolehkan para pengguna membuat persediaan dan tindakan awal menghadapi sebarang impak cuaca seperti hujan lebat atau kejadian kemarau.

Dalam memastikan pengukuhan prasarana yang mendukung usaha pemantauan, pengeluaran ramalan, nasihat dan amaran cuaca yang lebih tepat di negara ini, ujar beliau, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui BDMD sedang giat mengungkayahkan beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN-11).

Beliau menyatakan bahawa antara projek-projek berkenaan adalah penggantian dan penaiktarafan rangkaian radar cuaca, Automatic Weather Observation System (AWOS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan penggantian National Automatic Weather Stations (NAWS) di seluruh negara.

Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato berkata, Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara ahli WMO, menyambut Hari Kajicuaca Sedunia untuk memperingati berkuatkuasanya konvensi WMO pada 23 Mac 1950. “Sambutan ini juga adalah bagi menghargai sumbangan penting yang diberikan oleh Perkhidmatan-perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan (NMHSs) dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia,” ujarnya.

Pada 2022, tema yang dipilih oleh WMO ialah ‘Amaran Awal dan Tindakan Awal’ bagi menekankan kepentingan maklumat hidrometeorologi dan iklim untuk pengurangan risiko bencana.