Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memperingati jasa perwira negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Demi sebuah negara, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga. Demi agama, mereka terus bersatu. Demi kesejahteraan bangsa, mereka tetap bangkit berjuang. Merekalah wira negara, mereka juga pejuang negara. Ibarat memelihara ‘nyawa’ negara, itulah gambaran betapa besarnya tanggungjawab insan-insan yang dikenali sebagai tentera dalam memikul amanah yang dimeterai.

    Tanggal 31 Mei merupakan detik paling istimewa untuk memperingati segala jasa dan bakti yang dicurahkan oleh anggota tentera apabila Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) setiap tahun. Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT, kini genaplah 60 tahun usia ABDB.

    Pastinya negara memerlukan pasukan tentera yang memiliki keperibadian yang berkualiti bukan sahaja dari segi fizikal bahkan juga mental demi mengorak langkah proaktif untuk menjaga keamanan, kedamaian dan juga keselamatan sejagat.

    ‘Takwa, Setia, Berani dan Profesional’

    Tanpa golongan perwira ini, sudah pasti sesebuah negara sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat dan terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada dari dalam negara itu sendiri mahu pun luar negara.

    Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada upacara perbarisan sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-56 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara, pada tahun 2017, Baginda bertitah perlunya bagi seluruh warga ABDB untuk memperkukuhkan benteng dalaman mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak diingini sehingga mampu memainkan tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara, memikul tanggungjawab yang berat dan mencabar terutama dalam suasana persekitaran dunia tanpa sempadan.

    Setiap 31 Mei merupakan detik paling istimewa untuk memperingati segala jasa dan bakti semua warga tentera sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). – Gambar fail
    Anggota ABDB memainkan peranan proaktif dalam memastikan jemaah yang ingin menunaikan solat Fardu Jumaat perlu mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki masjid semasa operasi kawalan COVID-19. – Gambar fail
    ATAS & BAWAH: Warga ABDB sentiasa bergerak aktif dan ringan tangan dalam membantu masyarakat di negara ini yang mengalami musibah bencana alam seperti banjir kilat. – Gambar fail serahan Kementerian Pertahanan

    “Benteng dalaman itu adalah termasuk ketahanan rohani dan agama di mana kefahaman agama yang sempurna tidak syak lagi mampu untuk menangkis segala kefahaman salah yang menjurus kepada ekstremisme. Oleh itu di sinilah pentingnya nilai-nilai Melayu Islam Beraja, berjiwa kehidupan,” tekan Baginda.

    Dari tahun ke tahun, masa silih berganti, sejak penubuhan ABDB pada tahun 1961, pelbagai usaha dan cabaran telah diterokai oleh tentera dalam memperkasa penghayatan nilai-nilai teras ABDB, iaitu ‘Takwa, Setia, Berani dan Profesional’ yang sememangnya merupakan tonggak terpenting dalam menjana, memangkin dan menerajui kemakmuran negara kini dan selamanya. Di samping berperanan dalam menjalinkan pelbagai hubungan kerjasama dengan negara-negara serantau dan antarabangsa terutamanya dalam mengendalikan operasi keamanan dan bantuan kemanusiaan.

    Menanai kemaslahatan masyarakat

    Warga ABDB selaku benteng pertahanan bumi Negara Brunei Darussalam, turut memegang peranan yang besar dalam menyumbang kemakmuran dan keamanan serta kesejahteraan kehidupan rakyat dan penduduk supaya negara ini sentiasa terjamin selamat daripada segala bencana.

    Salah satunya adalah melalui kegiatan proaktif mereka dalam membantu masyarakat di negara yang mengalami musibah bencana alam seperti banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan pedalaman dengan melaksanakan bantuan pemindahan mangsa banjir yang terkandas dan menghantar barangan ke tempat yang selamat.

    Tidak dilupa juga, semasa berlang-sungnya operasi kawalan COVID-19 di negara kita, anggota ABDB juga memainkan peranan dalam sama-sama membantu pihak kerajaan dan agensi-agensi yang berkepentingan untuk membendung penularan COVID-19 di negara, misalnya memastikan jemaah yang ingin menunaikan solat fardu Jumaat perlu mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki masjid.

    Selain itu, ABDB juga mengendalikan kerja-kerja membersihkan kubur di tanah perkuburan orang-orang Islam dan masjid-masjid secara bergotong- royong. Aktiviti tahunan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebajikan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian anggota ABDB, di samping mengeratkan silaturahim serta memupuk tanggungjawab untuk berbakti dan menyumbang balik kepada masyarakat di negara ini.

    Dalam pada itu, sebagai salah satu sumbangan amal terhadap tanggungjawab sosial yang dilaksanakan setiap tahun, ABDB juga terus komited untuk menjaga kepentingan masyarakat di negara ini iaitu dengan melakukan pembersihan dan penaiktarafan Taman Rekreasi Hutan Bukit Subok menerusi Projek Titian Amal ABDB yang telah selesai diungkayahkan sekitar awal Januari lalu. Projek sedemikian dianjurkan bertujuan bagi memastikan tempat rekreasi selamat untuk digunakan oleh orang ramai terutamanya para penggemar aktiviti riadah mendaki bukit.

    Besarnya sebuah jasa pengorbanan

    Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada di kalangan anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas. Kepada anggota-anggota ABDB yang telah kembali ke Rahmatullah, yang berjuang demi mempertahankan kedaulatan raja dan tanah air tercinta ini, kita berdoa semoga Allah SWT menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong di kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah SWT. Jasa-jasa mu akan tetap dikenang hingga ke akhir hayat.

    Oleh itu, dengan segala pengorbanan dan kesetiaan yang dicurahkan oleh mereka kepada agama, bangsa dan negara sepanjang 60 tahun lalu yang juga bersempena sambutan Jubli Intan ABDB, ia diharap akan menanamkan semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri kita dan juga para generasi penerus bangsa.

    Sempena ulang tahun sambutan Ulang Tahun ABDB ini, marilah kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan keharmonian dan kedaulatan serta mewujudkan sebuah negara yang sejahtera, memiliki bangsa yang berkeperibadian tinggi serta pegangan agama yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-60 tahun!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda