Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Jasa dan pengorbanan anggota-anggota tentera Australia dan New Zealand membantu mendapatkan kembali Kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Jepun di Brunei semasa Perang Dunia Kedua sentiasa diingati dan dihormati.
Sehubungan itu Majlis Memperingati Hari ANZAC diadakan di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara hari ini dengan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli keluarga anggota tentera yang dihormati dalam majlis berkenaan, jemputan khas serta rakyat Australia dan New Zealand yang menetap di Negara Brunei Darussalam.
Rosenblum dalam ucapannya pada majlis itu berkata, Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah terjalin sekian lama.
Hubungan pertahanan itu telah terjalin sejak pendaratan tentera Australia 9th Division di Pantai Muara pada Ahad 10 Jun 1945 sebagai salah satu operasi penting untuk mendapatkan kembali Kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Jepun di Brunei semasa Perang Dunia Kedua.
Di samping itu, ratusan ribu tentera Australia dan New Zealand telah menunjukkan keberanian mereka dalam pelbagai konflik demi mempertahankan kebebasan serta memastikan rakyat kedua buah negara terus menikmati kehidupan yang aman di abad ke-21.



Pengorbanan dan keberanian anggota-anggota tentera Australia dan New Zealand terus diingat dan dihormati dengan rakyat dan penduduk kedua buah negara memperingati pengorbanan mereka itu di Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.
Menurut Rosenblum, majlis hari ini menyaksikan wakil daripada keluarga Lans Koperal Colin Diffen dan jurupandu tempatannya, Jagalang Umut yang gugur di medan pertempuran di Sungai Arang dihormati atas pengorbanan mereka kepada negara masing-masing.
Majlis seterusnya menyaksikan bacaan puisi bertajuk, In Flanders Fields oleh Setiausaha Kedua, Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Adam Edwards; bacaan Dedikasi ANZAC oleh anggota Tentera Udara Diraja New Zealand, Ketua Skuadron Trevor Hammond dan Setiausaha Ketiga, Kedutaan Republik Turki, Ergun Kadak membacakan kata-kata pengasas Turki Moden, Presiden Mustafa Kemal Ataturk yang kini diukir di tugu peringatan, Ari Burnu, Gallipoli, Turki.
Acara diteruskan dengan peletakan jambangan bunga oleh Rosenblum, Adam Edwards, Ergun Kadak dan wakil keluarga mendiang Lans Koperal Colin Giffen serta Jagalang Umut sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.
Bendera negara Australia dan New Zealand dikibarkan di kawasan tugu itu bagi memperingati jasa-jasa tentera Australia dan New Zealand yang telah dan terus berjuang serta berkhidmat di seluruh dunia.
Sementara itu, ahli-ahli keluarga mendiang Lans Koperal Colin Giffen dan Jagalang Umut ketika ditemui di akhir majlis berkenaan, menyatakan upacara itu membawa banyak kenangan dan perasaan kepada mereka terutama perasaan bangga di atas pengorbanan kedua-dua mereka yang menabur bakti untuk negara.