Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Memperkasa amalan gaya hidup sihat semasa norma baharu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sikap ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ dalam menjalani kehidupan seharian itu amat penting disemai sebagai satu budaya bagi setiap lapisan masyarakat untuk melahirkan insan-insan yang sihat dan cergas berteraskan amalan gaya hidup sihat.

    Masyarakat yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama, serta adanya nilai keBruneian yang tinggi sekali gus menjadikan mereka sebagai sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif.

    Oleh yang demikian, dalam kita masih berjaga-jaga sambil mengikuti langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP), salah satu perkara yang perlu ditekankan dalam menempuhi cabaran kehidupan ini ialah berusaha memperkasa amalan cara hidup sihat secara berterusan demi menjaga kesihatan fizikal mahu pun mental.

    Pentingnya aerobik dan anaerobik

    Pada masa ini, terdapat pelbagai perkhidmatan latihan kecergasan fizikal yang ditawarkan bagi orang ramai di negara ini antaranya perkhidmatan latihan secara berkumpulan; pelatih peribadi dan juga perkhidmatan korporat.

    Rata-rata semuanya menaruh matlamat bagi membuka minda masyarakat untuk sama-sama meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penjagaan kesihatan fizikal sekali gus berusaha menangani masalah-masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

    Antara teknik atau kaedah dalam latihan pergerakan fizikal di gim – Agensi
    Melakukan kegiatan fizikal seperti jogging dapat membantu mengurangkan risiko-risiko penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
    ATAS & BAWAH: Antara peralatan yang kebiasaannya digunakan apabila menjalankan pelbagai teknik atau keadan dalam latihan pergerakan fizikal.

    Secara umumnya perkhidmatan latihan kecergasan fizikal yang diketengahkan merangkumi kedua-dua jenis latihan pergerakan fizikal iaitu aerobik dan anaerobik. Hal ini amat penting untuk mewujudkan kesihatan fizikal yang menyeluruh, mempunyai berat badan yang ideal, jantung yang sihat, otot dan tulang yang kuat dan daya ketahanan fizikal yang tinggi.

    Aerobik iaitu senaman sejenis kardio untuk menguatkan denyut jantung dan juga keseimbangan pernafasan serta mengawal berat badan seperti jogging dan berjalan kaki.

    Manakala senaman anaerobik merupakan senaman aktiviti fizikal intensiti tinggi yang dilakukan jangka masa singkat yang berfungsi untuk menguatkan otot-otot tubuh badan yang utama seperti dengan penggunaan peralatan mengangkat besi, foam roller dan bola.

    Antara kebaikan latihan pergerakan fizikal berkenaan ialah meningkatkan kekuatan otot, memperbaiki keupayaan seseorang serta meningkatkan ketahanan dan kemampuan untuk melawan keletihan dan juga kelesuan diri.

    Menitikberatkan keupayaan intensiti peribadi

    Walau bagaimanapun, setiap senaman yang dilaksanakan seseorang itu perlulah mengikut keupayaan intensiti masing-masing dan juga had masa tertentu.

    Antara teknik senaman berbentuk indoor (dalam gim) yang dilaksanakan ialah dengan menggunakan sled iaitu dengan menarik sled menggunakan tali dan menolak sled bagi kepentingan teknik senaman seluruh badan; lompat kiri kanan menggunakan kemudahan kerusi; dan teknik body straight atau slam ball and jump to squat. Begitu juga jumping jack dan angkat berat di tangan; push up dan juga menaiki dan menuruni tangga secara menyiring.

    Menerapkan teknik cool down stretch

    Dalam setiap sesi latihan kecergasan ini, penerapan teknik cool down stretch iaitu Self Myofascial Release (SMR) iaitu salah satu kaedah yang dapat mengurangkan kecederaan dan dapat meningkatkan tahap prestasi individu itu mengikut kajian sport science dari National Academy of Sports Medicine (NASM).

    Sememangnya setiap senaman yang diterapkan kepada para peserta bertujuan untuk membantu mereka mengurangkan atau menerima risiko kecederaan di masa akan datang antaranya head protrude (kepala menonjol ke hadapan), shoulder forward (bahu kehadapan), sakit lutut dan sebagainya. Senaman-senaman itu lebih dikategorikan sebagai senaman berbentuk Corrective Exercise.

    Bersama kita capai kesihatan holistik

    Sehubungan dengan itu, seluruh masyarakat tidak kira golongan kanak-kanak, dewasa mahu pun warga emas perlu sentiasa mengutamakan kesihatan dalam menjalani kehidupan seharian iaitu dengan melakukan kegiatan fizikal selama 30 minit dalam sehari; iaitu sekurang-kurang lima kali seminggu atau pun 150 minit dalam seminggu bagi golongan dewasa.

    Manakala bagi golongan remaja dan kanak-kanak pula sebaik-baiknya 60 minit sehari sebagaimana mengikut garis panduan Kegiatan Fizikal Negara Brunei Darussalam yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Begitu mustahak bagi kita semua untuk lebih memahami bahawa dengan melakukan kegiatan fizikal akan dapat membantu dalam mengurangkan risiko-risiko penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta juga dapat membantu membakar kalori atau lemak dalam badan.

    Oleh itu, bersama-samalah kita menjaga kesihatan diri meliputi aspek hal ehwal pengambilan makanan sihat dan teratur dalam kehidupan sehari-hari di samping mengorak langkah positif dengan melakukan pelbagai kegiatan menjurus ke arah gaya hidup sihat demi mencapai tahap kesihatan secara holistik, lebih-lebih lagi dalam kita berdepan dengan cabaran dan ancaman krisis kesihatan kini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...