Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Sebanyak 11 pasukan lelaki dan 12 pasukan perempuan telah menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran secara Muratal bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat di Seluruh Negara baru-baru ini.
Pertandingan yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Antara tujuan pertandingan adalah untuk melahirkan dan menambah bilangan kanak-kanak yang boleh membaca Al-Quran serta menarik minat kanak-kanak untuk mengikuti apa sahaja aktiviti yang dijalankan di masjid. Ia juga bagi menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.