Memperkasa generasi celik Al-Quran

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar Serahan Haji Mohammad Loqman Al-Hakim

Al-Quran, adalah kalam Allah yang menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman bagi umat manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat. Sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran dengan menjadikannya sebagai teman sepanjang kehidupan.

Menjadikan Al-Quran sebagai teman bererti melindungi jiwa dan fikiran kita daripada gangguan serta hasutan syaitan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, bagi memastikan Al-Quran hadir dalam dan hidup kita, kita perlu mengambil peluang sentiasa membaca dan memahami makna ayat dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan. Hal ini kerana Al-Quran ialah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat kepada segala penyakit jiwa serta hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya Allah SWT.

Bersama menjadi generasi celik Al-Quran

Berjuang menanai harapan demi melahirkan generasi celik Al-Quran di bumi Negara Zikir ini serta menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya tidak ada rakyat yang beragama Islam di negara ini yang tidak pandai membaca Al-Quran, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan, 30, telah bangkit memperjuangkan pendidikan ilmu Kalam Allah ini dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menerusi platform pembelajaran Al-Quran di bawah Al-Huffaz Management miliknya yang turut diungkayahkan bersama ahli-ahli tenaga pengajar yang berkelayakan, sejak tahun 2016 lagi, berkat kegigihan yang tiada kenal erti putus asa, telah membawa beliau meraih anugerah bagi Kategori Pemimpin Muda Belia 2020 bersempena Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 pada awal Ogos lalu.

“Mengimbas kembali detik mula menerokai usaha platform pembelajaran Al-Quran ini, sememangnya tercetus daripada buah fikiran beberapa orang sahabat yang memberi cadangan agar saya menjalankan salah sebuah perkhidmatan keagamaan dalam pembelajaran Al-Quran kepada orang ramai, disebabkan pengalaman mengajar mengaji merupakan salah satu kegiatan yang saya ceburi sejak dulu lagi,” kongsinya dengan nada kesyukuran atas anugerah yang semestinya menjadi batu loncatan buat beliau dan tenaga pengajar yang lain.

Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan telah bangkit memperjuangkan pendidikan ilmu Kalam Allah dalam kalangan masyarakat di negara ini sehingga membawa beliau meraih anugerah bagi Kategori Pemimpin Muda Belia 2020 bersempena Majlis Sambutan HBK ke-16 pada awal Ogos lalu.
Al-Huffaz Management turut mengungkayahkan program bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 secara dalam talian setiap malam yang dibukakan kepada orang ramai.
Di samping itu, program Ngaji Online juga diketengahkan dari hari ke hari bagi para peserta yang berkeinginan menyertainya.

Vaksin ketuhanan, perisai diri

Demi memohon keselamatan dan kemudahan bagi Negara Brunei Darussalam dalam berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, Haji Mohammad Loqman turut menjelaskan bahawa penduduk dan rakyat di negara ini mestilah sentiasa mengamalkan vaksin ketuhanan selaku perisai diri daripada ancaman virus, di samping terus mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

“Perkara berkenaan perlu kita amalkan dalam kehidupaan sehari-hari, lebih-lebih lagi dalam kita berdepan dengan krisis kesihatan pada masa ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, raja yang kita kasihi, pernah bertitah antaranya ada menyentuh walaupun negara masih berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus, rakyat dan negara ini disarankan untuk tidak leka dengan keadaan sekarang dan usaha serta langkah berjaga-jaga perlu diteruskan dengan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doa.

“Pastinya setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah SWT tidak sunyi daripada mengandungi hikmah dan ia perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu dan jika dapat diketahui sedikit pun, kesannya mampu menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita, kerana itulah harganya hikmat itu,” jelasnya dengan penuh harapan.

“Oleh yang demikian, sama-sama menyemarakkan agar amalan vaksin ketuhanan berkenaan sentiasa menghiasi negara kita, saya bersama tenaga pengajar yang lain juga mengetengahkan pelbagai kegiatan secara dalam talian, antaranya program bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 secara dalam talian setiap malam yang dibukakan kepada orang ramai. Di samping itu, program Ngaji Online juga diketengahkan dari hari ke hari bagi para peserta yang berkeinginan menyertainya.

“Segalanya begitu indah, di mana kami dapat bersama-sama membersihkan hati dengan keindahan kalam Allah sehingga menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari. Begitu juga, demi memohon kepada Allah SWT supaya rakyat dan penduduk dan Negara Brunei Darussalam terselamat daripada wabak ini dan khususnya bagi ahli keluarga dan pesakit-pesakit yang sedang bertarung nyawa melawan ujian mereka dengan iringan doa semoga mereka dikurniakan kesihatan yang lebih baik,” tambahnya.

Sehubungan itu, mereka juga turut menganjurkan Projek Brunei Kasih bagi menyumbang sedekah kepada orang yang memerlukan terutamanya yang mengalami kemerosotan pendapatan akibat impak pandemik berkenaan. Beliau turut menyeru masyarakat terutamanya para belia agar sentiasa memberanikan diri iaitu dengan menjadikan kemahiran yang ada sebagai kekuatan untuk meningkatkan prestasi diri, dan membantu masyarakat sekeliling.

“Semoga Allah SWT sentiasa melimpahi kekuatan kepada masyarakat Brunei untuk kita menempuhi cabaran kehidupan ini dari hari ke hari dan sentiasa berganding bahu serta mampu berdikari dengan gigih demi mewujudkan Wawasan Negara 2035 dan Negara Zikir. Alhamdulillah dan terima kasih semua barisan hadapan dan tidk terkecuali generasi belia negara kita yang tampil berjuang bersama tanah air kita,” ujarnya dengan penuh keikhlasan.