Memperkasa generasi penghafaz Al-Quran

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar fail serahan Dayang Himesadeja binti Haji Adenan

Bagi meraih impian dan cita-cita murni dalam kehidupan ia perlu berbekalkan dengan niat penuh keikhlasan dan istiqamah.

Begitulah juga halnya bagi para pejuang penghafaz kalam Allah, mereka perlu sentiasa menyucikan hati dan jiwa untuk terus meningkatkan kemampuan hafalan bagi mencapai nilai kualiti yang terbaik.

Bukan mudah untuk menjadi para hafiz dan hafizah, semuanya memerlukan perjuangan dan cabaran berliku-liku untuk ditempuhi dengan minda dan jiwa penuh positif, di samping mengharapkan kurnia dan hidayah serta keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala agar keindahan ayat-ayat suci Al-Quran sentiasa bersemadi dalam diri bukan hanya di bibir bahkan juga di hati dan jiwa sehingga ke akhir hayat.

Namun segalanya tidak mustahil untuk dicapai dengan izin Illahi, bak kata peribahasa ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Itulah kata-kata semangat penuh ketulusan yang terucap daripada salah seorang hafizah tanah air kita, Dayang Himesadeja binti Haji Adenan semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Dayang Himesadeja berkesempatan mengongsikan kenangan suka dan duka beliau dalam meniti perjuangan sebagai salah seorang hafizah tanah air sejak tahun 1995.
Dayang Himesadeja mengambil pendekatan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ dalam melahirkan para penghafaz Al-Quran anak bangsa bumi Darussalam.
Penghafaz perlu sentiasa menyucikan hati dan jiwa untuk terus meningkatkan kemampuan hafalan dengan nilai kualiti yang terbaik.

Meniti perjuangan bergelar hafizah

Selaku tenaga pengajar dalam jurusan Al-Quran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Dayang Himesadeja yang juga merupakan alumni institut berkenaan telah berkesempatan mengongsikan kenangan suka dan duka beliau dalam meniti perjuangan sebagai salah seorang hafizah tanah air yang sememangnya mula diceburinya sejak tahun 1995 ketika berjaya terpilih memasuki pengajian di institut tersebut.

“Sokongan dan dorongan serta doa yang tidak putus-putus daripada kedua-dua ibu bapa, adik-beradik, para pendidik serta rakan-rakan seperjuangan, itulah kekuatan yang sentiasa menyinari diri ini untuk sentiasa bangkit berjuang mencapai matlamat menjadi seorang Hafizah,” ujarnya dengan ketulusan hati ketika mengimbas kenangan berharga bersama 13 orang pelajar yang lain selaku pengambilan pertama pelajar perempuan di institut tersebut.

Insan berjiwa Al-Quran ini turut menegaskan bahawa perlu memiliki kegigihan, motivasi yang teguh tanpa berputus asa serta sentiasa mengingati insan-insan di sekeliling yang menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi selama ini adalah hal yang perlu disemai dalam diri dari semasa ke semasa.

Di samping sentiasa mengerjakan sembahyang fardu lima waktu demi mengharapkan keberkatan dari Maha Pencipta agar diberikan kekuatan dan kemudahan dalam menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.

Pengambilan makanan halal lagi suci

Dalam pada itu, Dayang Himesadeja turut menyatakan sebagai salah satu usaha berjaya dalam bidang hafalan Al-Quran, penghafaz mestilah mengutamakan pengambilan makanan yang seimbang dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini secara tidak langsung memberi impak kepada kualiti hafalan jika kita mengutamakan makanan seimbang lagi halal dan suci.

“Sentiasa berdisiplin, beradab dengan Al-Quran dan tidak dilupa pula untuk memohon keberkatan dan doa daripada kedua orang tua agar segala hafalan dipermudahkan,” tambahnya yang kini berusia 40 tahun dengan kerendahan hati.

Terokai bidang tajwid dan pemahaman

Jelas Dayang Himesadeja lagi, dalam meniti dunia menghafal ayat-ayat suci Al-Quran ini sememangnya tidak sama seperti subjek-subjek yang lain seperti Sejarah, Geografi atau menghafal teknik formula Matematik, hakikatnya ia memerlukan matlamat dan strategi tertentu.

Terdapat 114 surah, 30 juz dan 6,236 ayat yang perlu dihafal dengan penuh terperinci. Itulah cabaran sebenarnya yang perlu ditempuhi oleh setiap insan penghafaz Al-Quran. Oleh itu, kita perlu fokus agar tidak tersasar daripada matlamat.

“Salah satu teknik dan tip untuk memudahkan hafalan Al-Quran ialah seseorang mestilah memiliki kelancaran atau kefasihan dalam membaca kalam Allah merangkumi tajwid dan juga sebutan-sebutan huruf Hijjaiyyah.

“Kemudian setelah menguasai bidang tajwid, pemahaman tafsiran ayat-ayat suci Al-Quran perlu dimantapkan. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi impak keringanan dan kemudahan ketika menjalani sesi hafalan yang sebaik-baiknya diamalkan setiap hari dengan menetapkan masa dan waktu tertentu agar segala kegiatan harian sentiasa bersistematik,” ujarnya lagi.

Fokus, baca dan ulang

Di samping itu, Dayang Himesadeja turut menyatakan bahawa antara teknik utama untuk memantapkan hafalan bagi setiap juzuk perlu bersikap fokus dengan sentiasa mengulang bacaan sehingga dapat dihafal.

“Memiliki matlamat yang jelas dan istiqamah. Jika kita ingin menyelesaikan dalam jangka masa tiga tahun, maka segala usaha mesti dikotakan agar ia selari dengan matlamat yang kita diimpikan,” tegasnya dengan penuh keyakinan yang pernah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran tempatan dan juga antarabangsa seperti tiga tahun berturut-turut sebagai wakil negara sempena Nuzul Al-Quran semasa masih menuntut di ITQSHHB; dan mendapat naib johan dalam Pertandingan Menghafaz Al-Quran 20 Juz semasa Karnival Musabaqah Al-Quran Tahun 2010 di Malaysia.

Didiklah anak berjiwa Al-Quran sejak kecil

Insan pendidik bidang Al-Quran yang pernah menjadi pelatih kepada pelajar-pelajar hafazan ITQSHHB yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa ini menyarankan kepada semua untuk mengamalkan pembacaan Al-Quran kepada anak-anak sejak kecil lagi dengan menitikberatkan sebutan-sebutan huruf dan tajwid terlebih dahulu sehingga bi-bit-bibit kecintaan keindahan Al-Quran itu akan tersemai dengan sendiri dalam diri mereka meskipun bermula daripada surah-surah pendek dalam Al-Quran.

“Jika kita memiliki generasi penerus yang mencintai Al-Quran, akhlak dan segala pembangunan insan anak bangsa kita juga akan dihiasi dengan jiwa Islam. Semangat juang dalam memartabatkan dan mengagungkan Al-Quran inilah yang semestinya dimiliki oleh seluruh rakyat dan penduduk di sesebuah negara Islam dan tidak terkecuali bumi Darussalam.

Hal ini secara tidak langsung demi menyahut gagasan negara untuk menjadi sebuah Negara Zikir yang sedang mencapai Wawasan Brunei 2035,” itulah antara ungkapan harapan penuh ketulusan Dayang Himesadeja semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.