Memperkasa kepimpinan belia

PROGRAM Kepimpinan Universiti Teknologi Brunei (ULP) kali ke-9 telah berakhir dengan penyerahan sijil dan majlis penghargaan baru-baru ini di Universiti Teknologi Brunei (UTB). Program ini dianjurkan oleh Kepimpinan Eksekutif, Pembangunan dan Mentor, salah satu daripada 11 Jawatankuasa Eksekutif Majlis Perwakilan Pelajar UTB bagi sesi 18/19.

Seramai 21 pelajar UTB telah mengambil bahagian dalam acara empat hari itu yang bertemakan ‘Back to Square 1’. Tema ini bertujuan untuk menunjukkan kepada peserta bahawa jika anda tidak dapat menyelesaikan sesuatu, cuba kembali ke definisinya kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Program ini diharap akan dapat mengubah pemikiran belia untuk menjadi seorang pemimpin hebat serta bermotivasi tinggi.

Pelbagai aktiviti

Di sepanjang program itu, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan bengkel bagi meningkatkan lagi keyakinan, kemahiran komunikasi dan menyediakan pelbagai ruang rangkaian. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama tiga kelab kurikulum tambahan UTB iaitu Pasukan Kadet Tentera UTB, Pemimpin Besok dan TEDx UTB.

Program ini juga berperanan sebagai platform untuk pembangunan karakter dalam memberi sumber inspirasi kepada belia, sekali gus untuk menjadikan seseorang itu lebih proaktif dalam mencuba pengalaman baharu.

Pembangunan kepimpinan dalam program ini bukan sahaja termasuk pembinaan watak daripada segi kemahiran kepimpinan tetapi juga dalam meningkatkan moral serta tindakan mereka dengan menggunakan prinsip Melayu Islam Beraja.

Antara pelajar-pelajar UTB yang menyertai program kepimpinan tersebut.