Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Memperkasa pelaut wanita

    KUALA LUMPUR – Cita-cita sebenar Hakimah Saiful Bahri ingin menjadi peguam, namun segalanya berubah apabila anak kelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur ini melihat iklan Akademi Laut Malaysia (ALAM) untuk jawatan kadet wanita. 

    “Selepas dapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007, saya banyak melihat ruangan iklan dalam akhbar kalau-kalau ada tawaran biasiswa untuk lanjut pelajaran.

    “Bila nampak iklan ALAM, hati saya terus tergerak untuk memohon meskipun saya bercita-cita mahu jadi peguam.

    “Saya bayangkan diri saya menjadi pelaut dan belayar ke seluruh dunia. Sebenarnya belum ada sesiapa pun dalam keluarga saya yang menyertai industri maritim,” kongsi Hakimah, mengenai pengalamannya sebagai pelaut di Seminar Kebangsaan Women’s Network in the Maritime Community Training-Visibility-Recognition yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.   

    Seminar itu dianjurkan oleh Persatuan Wanita Dalam Maritim (MyWIMA) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antrabangsa Wanita.

    Hakimah berpandangan masih terdapat tanggapan bahawa karier maritim tidak sesuai untuk kaum hawa memandangkan pekerjaannya memerlukan kekuatan fizikal dan melibatkan persekitaran pekerjaan yang berbahaya.- Bernama

    ALAM yang ditubuhkan pada tahun 1977 mula membuat pengambilan kadet wanita pada tahun 2006 dan Hakimah yang mengambil Diploma Pengajian Nautikal adalah antara calon kumpulan kedua kadet wanita ALAM. Hakimah tamat pengajian sebagai pegawai dek pada tahun 2010.

     Skop pekerjaan sebagai pelaut wanita (female seafarer)
    Pada usia 33 tahun, pencapaian Hakimah sebagai pelaut wanita amat membanggakan apabila beliau menyandang beberapa jawatan penting dalam industri yang dikuasai kaum adam.

    Di samping menyandang jawatan ketua pegawai atau pegawai kedudukan dinamik kanan (DPO) kapal sokongan menyelam, beliau juga perintis wanita pertama memperolehi Sijil Kekompetenan Kelas 1 Pelayaran Tanpa Had, Master 3,000GT pada tahun 2020. Sijil ini membolehkan beliau mengemudi sebarang bentuk kapal dalam perairan negara dan antarabangsa pada tahun 2020.

    Sebagai DPO, Hakimah bertanggungjawab ke atas sistem selamat penjagaan stesen dan memantau operasi logistik di sekeliling beliau, seperti per-gerakan kapal bekalan atau helikopter. 

    (COC adalah lesen yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia untuk pelaut bagi mengemudi kapal semasa berada di laut.) 

    Kedudukan Dinamik (DP) adalah sistem yang mengawal kedudukan serta kestabilan kapal ketika berada di laut, dengan menggunakan propeler dan penujah. Pegawai DP bertindak sebagai penjaga waktu utama di meja kawalan DP, mengoperasi dan memantau sistem DP serta memantau operasi logistik di sekitar kapal. 

    “Saya juga bertanggungjawab mengawal sistem komputer DP di samping unit tujahan, pengurusan tenaga dan lebihan peralatan.

    “Saya juga memantau radar secara berkala untuk perubahan trafik serta keadaan cuaca, memastikan kapal berada dalam keadaan stabil di atas kedudukan yang ditetapkan di dasar laut dan membantu pengurus pemasangan luar pantai menyediakan sistem kecemasan serta pengendaliannya sekiranya berlaku kegagalan mekanikal, ” tambahnya.

    Setakat ini, Hakimah telah belayar ke lebih 20 buah negara merentasi Laut China Selatan, Lautan Pasifik, Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Utara, Lautan India, Teluk Benggala, Laut Norway, Laut Baltik dan pelbagai selat.

     Wanita dalam maritim
    Berkhidmat dalam industri maritim bukan sahaja mencabar tetapi juga berbahaya. Menurut Hakimah, latar belakangnya membesar dengan lima orang adik-beradik lelaki banyak membantu bekerja dengan kaum adam tanpa rasa bimbang dan janggal.

    “Menjadi pegangan saya bahawa dalam industri yang dikuasai oleh lelaki, seseorang itu perlu melihat kepada kemampuan menjalankan tugas menurut kekuatan, kecekapan dan pengalaman dan tidak kepada perbezaan jantina serta fizikal.

    “Apatah lagi, setiap pelaut melalui fasa pembelajaran, latihan serta penilaian pepe-riksaan standard. Penting juga sikap hormat-menghormati sesama rakan sejawatan bagi mengekalkan persekitaran kerja yang positif.  Keadaan ini akan membolehkan kami kaum hawa mengetuai pasukan, memberi arahan serta menjalankan tanggungjawab serta tugas kami, ” katanya, sambil menambah, beliau bersyukur kerana dikelilingi rakan sejawatan lelaki yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dan tidak ‘memandang rendah terhadap kemampuan saya dalam melaksanakan tugas saya’. 

    Bagaimanapun, menurut Hakimah, penyertaan wanita dalam industri maritim masih rendah dan pada tahun 2020, hanya terdapat 1.2 peratus pelaut wanita di seluruh dunia. Beliau memetik laporan yang dikeluarkan pada tahun 2021 oleh the Baltic and International Maritime Council and the International Chamber of Shipping.

    “Data Jabatan Laut Malaysia (JLM) pula menunjukkan hanya terdapat 1,925 orang pelaut wanita daripada 72,426 orang pelaut di Malaysia, antara tahun 2010 hingga 2017,” katanya.

    Hakimah berpandangan masih terdapat tanggapan bahawa karier maritim tidak sesuai untuk kaum hawa memandangkan pekerjaannya memerlukan kekuatan fizikal dan melibatkan persekitaran pekerjaan yang berbahaya.

    “Hakikat industri ini dikuasai lelaki juga membuatkan kebanyakan wanita berasa mereka akan berdepan dengan diskriminasi dan mungkin juga tidak akan mendapat peluang dan kemajuan kerjaya yang sama rata.

    “Ramai wanita bimbang untuk menerokai industri yang dikuasai oleh lelaki kerana mereka percaya mungkin rakan sejawatan lelaki akan melakukan gangguan fizikal, mendera secara lisan dan tidak memberi sokongan kuat,” katanya.

    Beliau menambah, salah faham itu masih berlaku kerana kurang kefahaman tentang prospek yang banyak dalam kerjaya sebagai pelaut.

    “Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) komited untuk menggalakkan persamaan jantina dalam karier pelayaran dan kepimpinan maritim. 

    “Penyertaan wanita sebagai pelaut di Malaysia semakin meningkat, malahan ada yang mampu meningkat menyandang jawatan tinggi serta berkongsi pengetahuan serta pengalaman menerusi penubuhan Persatuan Wanita dalam Industri Marin Malaysia (MyWIMA),” katanya.

    Sementara itu, Presiden MyWIMA Dr Yasmin Mohd Hasni berkata, masih terdapat ruang untuk wanita di Malaysia menyertai industri maritim.

    “Nisbah wanita dan lelaki di negara ini hampir sama, namun hanya dua peratus daripada tenaga pekerja dalam industri maritim adalah wanita,” katanya.

    Yasmin, yang juga timbalan pengarah JLM menambah, Selat Melaka adalah salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia dan menjanakan banyak peluang pekerjaan.

    “Bayangkan kita tinggal berhampiran laut yang merupakan lebuh raya kepada lebih daripada 80,000 buah kapal setiap tahun. Banyak peluang pekerjaan dalam industri ini yang menawarkan pendapatan lumayan,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...