Memperkaya kedayatahanan belia wanita

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Dengan membawa tema ‘Memperkayakan Daya Tahan Wanita Muda sebagai Ejen Perubahan’, Mesyuarat Komiti ASEAN mengenai Wanita (ACW) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan ke-18 meletakkan wanita di barisan hadapan dalam usaha untuk meningkatkan keharmonian dan keseimbangan dalam rantau ASEAN khususnya dalam pembangunan komuniti dari rumah serta mendidik golongan
muda.

Tema itu menumpukan kepada usaha untuk memperkayakan kedayatahanan belia wanita sebagai ejen perubahan dalam era revolusi perindustrian ke-4, jelas Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti Haji Wahid ketika mempengerusikan Mesyuarat ACW dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan ke-18 di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dan delegasi ASEAN bagi ACW dan pihak Sekretariat ASEAN.

Dayang Saidah berkata bahawa dengan perkembangan teknologi, ia telah membolehkan wanita bekerja dari rumah dan di mana keperluan dari tempat kerja boleh sahaja memasuki ke sempadan kehidupan peribadi, adalah bertepatan untuk membangunkan dan menyediakan belia wanita dengan strategi untuk memastikan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan yang sihat khususnya memperkasakan keupayaan mereka untuk menjaga keluarga mereka.

Sehubungan itu, tegasnya, mereka harus melihat kepada memperkayakan kedayatahanan belia wanita menerusi pengayaan ekonomi, keusahawanan, keseimbangan pekerjaan dan kehidupan sihat.

Gambar ramai pegawai-pegawai kanan ASEAN yang menghadiri mesyuarat tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurut beliau lagi, Negara Brunei Darussalam menekankan pentingnya untuk mempersiapkan belia ASEAN, khususnya belia wanita, sebagai masa depan ASEAN kerana mereka memainkan peranan yang penting dalam kemajuan ASEAN dan memperkasa wanita akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan akan mengeluarkan wanita sebagai kumpulan mudah terdedah di masa akan datang.

Menerusi ACW, dalam usaha meningkatkan kedayatahanan belia wanita, rantau ini juga mampu mengurangkan kemiskinan dan membangunkan sebuah komuniti ASEAN yang lebih kuat.

Di samping itu, kata Dayang Saidah, mereka juga berusaha untuk mengetengahkan peranan-peranan lain yang dipegang oleh wanita dalam kehidupan mereka seperti mendidik golongan muda dalam bentuk komuniti yang terkecil iaitu keluarga.

Negara Brunei Darussalam, jelasnya, amat berminat untuk mengongsi dasar keluarga pertama dan bagaimana melabur dalam meningkatkan kedayatahanan belia wanita memberi kesan kepada pengukuhan institusi keluarga.

Brunei juga berharap untuk mengongsi usaha untuk mengkaji semula dasar-dasar belia negara, pelan tindakan kebangsaan bagi wanita dan pe-ngukuhan aktiviti-aktiviti keusahawanan di negara ini menerusi pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara.

Antara agenda yang dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan meliputi pelaksanaan Pelan Kerja ACW 2016-2020, perkembangan Pelan Kerja 2021-2025 dan kerjasama ACW dengan rakan-rakan strategik seperti ASEAN-USAID PROSPECT, ASEAN Women Entreprenuers Network, ASEAN Confederation of Women’s Organisations, UN Women dan OXFAM International.