Mempertahankan kreativiti seni berusia 5,000 tahun

NABLUS – Untuk merasai keseronokan alat muzik tradisi seperti Oud, seseorang pemain itu harus mengetahui teknik-teknik permainannya malah anda juga harus memainkannya dengan rasa sepenuh jiwa,” jelas Ali Hasneen yang sanggup untuk meninggalkan kerjayanya sebagai seorang jururawat untuk memperbaiki dan mengabadikan diri dalam seni pembuatan Oud dengan teknik buatan tangan.

Oud dianggap sebagai sejenis alat muzik tertua di mana ia memiliki ukuran panjang mencapai kira-kira 65 sentimeter panjang dan 35 sentimeter lebar dilengkapi bersama dengan kotak muzik yang berbentuk lekuk dan kord muzik yang tertentu.

Seni pembuatan alat muzik tersebut memerlukan tahap kesabaran dan penelitian yang sangat tinggi di mana ia turut dianggap sebagai salah satu seni kreatif yang agak jarang diusahakan pada masa ini.

Oud biasanya diperbuat daripada kayu cemara atau kayu cedar yang secara tidak langsung mempengaruhi alunan asli yang diperdengarkan oleh petikan bunyi yang dialunkan oleh pemain.

“Saya mula belajar memainkan Oud dari rumah sewaktu peringkat usia kanak-kanak lagi. Bapa saya merupakan seorang ahli muzik dan dia yang banyak membimbing saya. Dari situ, saya mula belajar memahami mengenai cara permainan oud dan bagaimana cara untuk memperbaikinya,” jelas Hasneen.

Oud sememangnya merupakan sejenis alat permainan tradisi di Palestin yang dipercayai wujud sejak 5,000 tahun lalu.
Menetapkan komitmen tersendiri dan berdedikasi telah mendorong Ali Hasneen untuk menyempurnakan pembuatan sejenis alat muzik dikenali sebagai oud. – Xinhua
Ali Hasneen kelihatan begitu teliti dalam seni pembuatan oud. – Xinhua

“Secara perlahan-lahan, saya mula meminjam oud daripada rakan-rakan saya dan berusaha untuk memperbaikinya sehingga saya berpeluang untuk membuka sebuah bengkel sahaja di rumah sendiri,” tambahnya.

Hasneen turut menjelaskan bahawa dia mula memperbaiki oud yang pertama pada tahun 1991. Dia masih ingat dengan jelas bahawa oud yang diperbaikinya itu adalah sangat penting bagi dirinya kerana dia membelinya sendiri dengan menggunakan sumber kewangan yang dikumpulkannya sedari kecil terutama dalam tempoh waktu yang agak panjang.

Hasneen juga menamakan kedainya bersempena dengan Ziryab, seorang pemuziuk terkemuka di Arab yang cukup dikenali atas bakat nyanyian dan keupayaan permainannya dalam seni muzik Oud.

Kedai yang diusahakannya itu terletak di bangunan yang berusia hampir 200 tahun di sebuah bandar lama di Nablus.

Dalam usaha untuk meningkatkan tahap kesabaran dan ketelitiannya ketika bekerja, Hasneen lebih memilih untuk bekerja pada waktu malam.

Proses pekerjaan yang diusahakannya bermula dengan pemotongan, pembengkokkan dan pembersihan kayu serta penggabungan setiap kepingan tersebut menjadi sebuah alat muzik.

Dia juga perlu menguji kualiti suaranya bagi memastikan bahawa tiada sebarang gangguan pada alat muziuk yang ingin dimainkan.

“Faset Oud adalah bahagian yang paling penting di mana sekitar 70 peratus ia mempengaruhi kualiti muzik yang dimainkannya,” jelas Hasneen.

Menurut Hasneen, memang terdapat pusat pengajian yang menawarkan kursus pembelajaran Oud di Iraq, Syria dan Mesir. Hasneen menjelaskan bahawa dia telah mengembara ke Kaherah, Baghdad dan Damsyik selama bertahun-tahun dengan tujuan untuk berjumpa dengan pembuat Oud dan mempelajari teknik serta langkah pembuatannya daripada mereka.

“Namun sebagaimana umumnya bahawa kemahiran pembuatan sebegini seringkali dianggap sebagai satu rahsia dan ia tidak mudah untuk diajarkan kepada orang lain melainkan seseorang itu memiliki hubungan yang rapat seperti ayah dengan anak,” jelas Hasneen.

“Kita sememangnya mengetahui bahawa alat muzik dikenali sebagai Oud itu sememangnya telah wujud sejak 5,000 tahun yang lalu. Perkara itu jelas dibuktikan melalui kandungan manuskrip yang dipercayai telah wujud sedari era Akkadian di utara Syria di mana ia memperlihatkan seorang wanita yang memegang sebuah instrumen kelihatan sama seperti oud,” tambahnya. – Xinhua