MADRID, 22 OGOS – Barcelona menerima cabaran getir dari Athletic Bilbao namun terselamat daripada kekalahan ketika berkunjung ke San Manes apabila meraih satu mata menerusi jaringan lewat oleh Memphis Depay untuk melakarkan keputusan seri 1-1 buat skuad dari Catalans itu semalam.
Depay berjaya menemukan jaringan 15 minit sebelum perlawanan tamat di Basque Country yang juga gol pertamanya di La Liga sejak berhijrah ke Barcelona dari Lyon.
Skuad bimbingan Ronald Koeman mempamerkan persembahan yang mengagumkan pada perlawanan pertama sejak Lionel Messi meninggalkan Barca apabila menewaskan Real Sociedad 4-2 minggu lalu.
Namun mereka bernasib baik berjaya mencuri satu mata daripada perlawanan itu dan sukar untuk mengelak persoalan mengenai ketiadaan pemain Argentina itu.
“Saya tidak suka bercakap mengenai perkara yang sama tapi dia adalah pemain terbaik di dunia dan lawan mungkin lebih takut jika Messi ada bersama,” jelas Koeman.
“Untuk kami juga, jika bola dihantar kepada Leo biasanya dia tidak akan kehilangan bola itu dan hari ini kami terlalu banyak melepaskan bola terutama di separuh masa pertama.
“Anda menyedarinya tapi itulah hakikatnya yang tidak boleh diubah sekarang. Ia malam yang sukar buat pertahanan Barcelona dengan Gerard Pique terpaksa dikeluarkan selepas setengah jam beraksi dan Eric Garcia dibuang padang kerana menjatuhkan Inaki Williams.
Bekas pemain pertahanan Manchester City, Garcia menerima khabar berita tentang kematian datuknya sebelum perlawanan dan berjuang sepanjang 90 minit sebelum dilayangkan kad merah lewat perlawanan. – AFP
