Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memudah cara perniagaan diberi keutamaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi mendukung salah satu keutamaan belanjawan iaitu memudah cara perniagaan dengan memperkenalkan beberapa perundangan dan pengawalseliaan yang lebih kondusif serta meningkatkan keupayaan teknologi bagi memudahkan dan mempercepatkan proses untuk memulakan perniagaan di negara ini.

    Ini bagi industri-industri tempatan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pelaburan langsung asing untuk bertapak di negara ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, dengan pelak-sanaan beberapa inisiatif tersebut, ia dapat membantu meningkatkan skor negara ini dalam Laporan ‘Doing Business 2020’ keluaran Bank Dunia kepada 70.1 peratus daripada 69.6 peratus pada tahun 2019, yang mana negara ini kini berada di kedudukan ke-66 daripada 190 ekonomi.

    Yang Berhormat Dato menekankan perkara berkenaan semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2020) Perbekalan 2020/2021 pada hari ketiga persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-16, di Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau seterusnya menambah, bank-bank tempatan juga memainkan peranan penting dalam memajukan PMKS yang mana setakat 29 Februari 2020, Bank Usahawan telah memberikan pinjaman sebanyak $12.2 juta kepada 192 PMKS bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

    Manakala itu, jumlah pinjaman korporat di bawah bank-bank lain di negara ini bagi 2019 adalah sebanyak $2.8 bilion berbanding $2.6 bilion pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak 9.6 peratus tahun ke tahun.

    Menyentuh mengenai penyatuan aset-aset infrastruktur telekomunikasi syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini, beliau menyatakan harapan dengan inisiatif berkenaan, pergerakan aktiviti ekonomi digital akan lebih aktif dan sekali gus dapat mewujudkan perniagaan baharu seperti smart applications dan smart solutions yang menjadikan Negara Brunei Darussalam setanding dengan negara-negara maju yang lain.

    Sementara itu, tambah beliau, PMKS pula akan dapat memanfaatkan platform ini dengan menawarkan produk dan perkhidmatan baharu seperti smart home security, smart enterprise solutions, precision agricultural solutions dan smart farming solutions dengan kadar yang lebih kompetitif dan lebih mudah.

    “Di samping itu, teknologi digital ini akan memberikan faedah kepada orang ramai untuk mendapatkan pekerjaan di mana semakin banyak perusahaan atau perniagaan berhubung melalui platform digital,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan, antara peruntukan yang telah disediakan bagi mendukung fokus bagi Tahun Kewangan 2020/2021 adalah $4.45 juta dengan Harga Rancangan sebanyak $9.45 juta bagi membiayai perbelanjaan untuk memajukan Daerah Temburong dengan siapnya jambatan penghubung Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.

    Manakala itu, peruntukan juga telah disediakan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 berjumlah $2.12 juta dengan harga rancangan $16.8 juta bagi membiayai projek-projek antaranya melaksanakan kaedah pembayaran cukai bangunan secara online.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda