Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Memuliakan al-Qur’an: Jaga adab-adab mengajarkannya

    Sambungan minggu lalu

    Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Tidaklah berkurangan harta dengan sedekah dan tidaklah Allah akan menambah bagi seorang hamba yang memberi maaf (kepada saudaranya) melainkan dengan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu merendah diri semata-mata kerana Allah kecuali Allah akan mengangkat martabatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

    7. Hendaklah mendidik para pelajar secara berperingkat-peringkat agar mereka mempunyai akhlak yang tinggi lagi mulia, serta berperangai dengan perangai yang disenangi, memberi mereka semangat sama ada dengan percakapan atau perbuatan supaya mereka sentiasa ikhlas, jujur dan berniat baik serta ingat pengawasan Allah terhadap mereka adalah pada segenap waktu.

    Perlu juga ditanamkan kepada para pelajar bahawa dengan mempelajari al-Qur’an itu, akan terbukalah pintu-pintu pengetahuan, teranglah hati dan Allah memberkati pembelajaran dan kehidupan orang yang belajar itu dan ia bersesuaian dengan perbuatan dan percakapannya (mencerminkan akhlak yang diajar di dalam al-Qur’an).

    8. Memberi komitmen yang tinggi ketika mengajar dan melapangkan hatinya daripada kesibukan ketika duduk mengajar mereka, serta memberi komitmen tinggi dalam memahamkan pelajaran kepada mereka.

    Di samping itu, hendaklah dia sentiasa menjaga dan mengawasi tahap kemampuan para pelajar serta pemahamannya. Pengajar tidak boleh membataskan pembelajaran para pelajar tanpa sebab sedangkan mereka masih mampu dan bersedia menerima ilmu yang lebih daripada itu. Hendaklah dia menyuruh para pelajar sentiasa mengulang pembacaan yang telah diajarkannya dan hafalan dan menyoal mereka tentang perkara-perkara penting yang telah diajarkan berkaitan al-Qur’an seperti hukum tajwid dan sebagainya.

    9. Hendaklah dia mendahulukan pelajar yang datang lebih awal apabila ramai yang datang belajar. Jika pelajar yang datang awal redha atau bersetuju untuk mendahulukan pelajar yang lain, maka boleh didahulukan yang lain.

    10. Hendaklah menunjukkan kegembiraan dan bermanis muka dengan para pelajar, menyelidik hal ehwal atau keadaan mereka serta bertanyakan para pelajar yang tidak hadir bagi mengetahui perkhabaran mereka.

    Begitulah antara adab-adab yang perlu dijaga dan diambil perhatian oleh mereka yang mengajar al-Qur’an kerana al-Qur’an adalah ilmu yang paling mulia. Lebih utama lagi jika majlis pembelajaran al-Qur’an dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan lebih ramai lagi belajar di dalamnya. Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik majlis adalah yang seluas-luasnya (yang ramai orang menghadirinya).” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Inilah antara bukti keimanan dan kecintaan umat Islam terhadap al-Qur’an sebagai kitab Allah. Selain dari mempelajarinya serta memahami isinya, menjaga adab mengajarkannya juga sebahagian dari etika mengagung dan memuliakan al-Qur’an. Sesungguhnya mengajarkan al-Qur’an adalah amalan dan pekerjaan mulia yang menjanjikan pahala yang berterusan. Bertitik tolak dari amalan dan pekerjaan mulia pengajar al-Qur’an inilah yang akan melahirkan generasi muda yang cintakan al-Qur’an dan berakhlak dengan al-Qur’an dalam seluruh kehidupan mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...