Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memuliakan Al-Quran: Jaga adab mengajarkannya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Beriman dan percaya kepada kitab Al-Quran merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam. Begitu juga mengagungkan dan memuliakannya adalah perkara yang amat dituntut oleh syarak. Membacanya pula dijanjikan ganjaran pahala, selain ia sebagai zikir yang boleh mengubat rohani dan minda.

    Mempelajari Al-Quran hukumnya fardhu ‘ain ke atas setiap orang Islam. Manakala mempelajarinya dan mengajarkannya kepada orang lain adalah sebaik-baik perkara sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar Al-Qurandan mengajarkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Hukum mengajar Al-Quran

    Hukum mengajarkan Al-Quran itu fardhu kifayah iaitu kewajipan yang dituntut oleh syarak kepada semua orang Islam yang mukallaf. Jika salah seorang telah mengerjakan perbuatan tersebut, maka gugurlah kewajiban bagi yang lain. Jika tidak ada seorang pun yang mengerjakan, maka berdosalah keseluruhan umat Islam.

    Oleh yang demikian, adalah wajib mengadakan orang yang mengajar Al-Quran di sesebuah tempat atau negeri itu.

    Jika hanya terdapat seorang sahaja yang boleh mengajar Al-Quran, maka wajib (fardhu ‘ain) ke atas orang tersebut mengajarkan Al-Quran itu.

    Hukum mengajarkan Al-Quran itu fardhu kifayah iaitu kewajipan yang dituntut oleh syarak kepada semua orang Islam yang mukallaf.

    Sementara jika terdapat sekumpulan orang yang boleh mengajar Al-Quran dan mereka mengajarkannya, maka gugurlah kewajipan itu pada sebahagian yang lain. Sedangkan jika mereka enggan mengajarkannya, maka kesemua mereka menanggung dosa.

    Berlainan halnya jika diminta salah seorang daripada kumpulan mereka yang boleh membaca dan mengajar Al-Quran untuk mengajarkannya kepada orang lain tetapi dia enggan atau menolak, maka tidaklah dia berdosa akan tetapi hukumnya makruh jika dia menolak tanpa ada keuzuran.

    Adab-adab bagi orang mengajar Al-Quran

    Mengajar Al-Quran merupakan salah satu daripada perkara penting dan semulia-mulia pekerjaan dalam Islam. Ini kerana mengajar merupakan asas yang membimbing seseorang itu untuk memperdalami ilmu agamanya dan hal ehwal yang berkaitan dengannya termasuklah membimbing orang lain dalam pembacaan Al-Quran.

    Oleh kerana itu, terdapat adab-adab yang mesti dijaga oleh mereka yang mengajar Al-Quran agar apa yang diajarkan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan dapat difahami oleh para pelajar, antaranya sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala dalam Kitab at-Tibyan fi Adab Hamalah al-Qur’an:

    1. Mengajar dengan tujuan semata-mata mendapat keredhaan Allah, bukan untuk tujuan keduniaan seperti mendapat kekayaan, kedudukan, kemasyhuran atau mengharap pujian daripada orang ramai atau yang seumpamanya. Begitu juga dengan belajar Al-Quran, tujuannya tidak lain adalah untuk mendapat keredaan Allah.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya: “Sesiapa yang meng-hendaki keuntungan di akhirat, Kami tambah baginya keuntungan itu dan siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya dan tidaklah ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (Surah asy-Syura: 20)

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Sesiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mendapat keredhaan Allah Ta‘ala lalu dia mempelajarinya untuk mendapat kesenangan dunia, maka dia tidak mendapatkan (bau harum) syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    2. Berakhlak dengan akhlak yang baik sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak seperti murah hati, bermanis muka, lemah lembut, sabar, bersih daripada pendapatan yang hina, warak, khusyuk, sentiasa tenang hati, sopan, tawadhuk dan merendah diri.

    Hendaklah menjauhkan diri daripada ketawa yang berlebihan dan banyak bergurau, bersifat hasad, riyak, sombong, menghina orang lain dan seumpamanya.

    3. Sentiasa melakukan perkara-perkara yang disyariatkan seperti membersihkan diri daripada kekotoran, memotong rambut atau bulu sebagaimana yang dituntut oleh syarak supaya dibuang, memotong kuku, membisaikan janggut, menghilangkan bau-bau yang tidak disukai dan tidak memakai pakaian yang tidak disuka oleh syarak.

    4. Sentiasa menasihati para pelajar dalam pelbagai perkara sebagaimana hadis daripada Tamim ad-Dariyyi Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Agama itu nasihat”.

    Kami berkata: “Bagi siapa?”

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasul-rasulNya, bagi umat Islam dan seluruh umat manusia”.” (Hadis riwayat Muslim)

    Antara nasihat yang disampaikan pula adalah berupa panduan dan bimbingan untuk kebaikan para pelajar. Menolong keperluan para pelajar Al-Quran jika mampu, menjinakkan hati mereka (agar melakukan kebaikan), bersikap toleransi, sentiasa menanam sifat lemah lembut dengan para pelajar serta memberikan semangat kepada mereka untuk belajar juga termasuk dalam erti kata memberi nasihat.

    Hendaklah juga dijelaskan kepada mereka tentang fadilat menuntut ilmu dan fadhilat belajar Al-Quran serta ilmu-ilmu syari‘ah sebagai perangsang dan pendorong supaya mereka berminat mempelajarinya.

    5. Hendaklah sentiasa menyayangi mereka serta menjaga maslahat mereka sebagaimana guru menjaga maslahat dirinya dan anak-anak, serta berperanan sebagaimana peranan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

    Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya guru segala guru iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya aku umpama seorang bapa kepada kamu, aku mengajar kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    6. Tidak meninggikan diri terhadap para pelajar dan sentiasa berlemah lembut kepada mereka dan merendah diri.

    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: “Serta berlemah-lembutlah engkau terhadap orang-orang beriman.” (Surah al-Hijr: 88)

    Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Tidaklah berkurangan harta dengan sedekah dan tidaklah Allah akan menambah bagi seorang hamba yang memberi maaf (kepada saudaranya) melainkan dengan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu merendah diri semata-mata kerana Allah kecuali Allah akan mengangkat martabatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

    7. Hendaklah mendidik para pelajar secara berperingkat agar mereka mempunyai akhlak yang tinggi lagi mulia, serta berperangai dengan perangai yang disenangi, memberi mereka semangat sama ada dengan percakapan atau perbuatan supaya mereka sentiasa ikhlas, jujur dan berniat baik serta ingat bahawa pengawasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka adalah pada segenap waktu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda