Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG – Bagi menambahkan minat para pelajar dan memahami sifir dengan suasana pembelajaran menarik dan menyeronokkan, Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Daerah Tutong telah mengadakan Program ‘Maths Fun Day’ di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Program ilmiah yang begitu menarik itu telah disertai lebih 200 orang pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 6, yang mana pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya ialah ‘Mental Computation Test’, ‘Number and Multiplication and Multiplication Flower’, ‘Multiplication Song and Quiz’ dan ‘Multiplication War, Dice Game and Array of Multiplication’.
Kepentingan dan keperluan
Aktiviti berkenaan adalah sebagai salah satu usaha untuk mengaitkan kepentingan dan keperluan sifir dalam kehidupan harian para pelajar dengan menerapkannya ke dalam setiap subjek yang dipelajari seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Informasi, Komunikasi dan Teknologi (ICT) dan Lukisan serta Kraf Tangan.
Dengan adanya program sebegini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran para pelajar dalam sifir, di samping memahami teknik menjawab soalan berkaitan sifir, sekali gus mendidik para pelajar untuk sentiasa menyemai sikap bekerjasama dalam kerja berkumpulan.
Program yang dilaksanakan ini merupakan salah satu projek di bawah Program ‘Literacy and Numeracy Coaching’ yang giat dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.
