Memupuk semangat kepimpinan dan pemedulian

Oleh Nurdiyanah R.

Sifat kepimpinan merupakan kebolehan seseorang mengetuai sekelompok orang untuk sama-sama bekerja dan merealisasikan suatu visi yang dikongsi bersama, bukanlah hanya menunding jari atau hanya menjadi ‘tukang arah’ mana-mana pihak demi kepentingan peribadi.

Oleh yang demikian, bagi merungkai aspek nilai-nilai kepimpinan dan pemedulian terhadap golongan pekerja ketika berdepan dengan cabaran daripada penularan COVID-19 terutamanya dalam meniti pasaran industri makanan dan minuman (F&B) lebih-lebih lagi semasa fasa peralihan endemik, baru-baru ini, salah satu topik perbincangan berjudul Leadership and Caring for your Employees telah mewarnai pengisian forum maya bahagian pertama Siri SME 360 Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Tiga panel pembentang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Revi Bhaskaran; Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad; dan Pengurus Besar Royal Brunei Culinary (RBC), Haji Jeff Hadiman dengan moderatornya, Reuben Chin dari DARe.

Jadilah pemimpin untuk bangkit bersama

Menurut Revi Bhaskaran, dalam situasi berdepan dengan cabaran penularan COVID-19 dan pastinya masing-masing di antara kita mengalami impak tertentu, namun jika berbicara mengenai aspek kepimpinan dalam sesebuah organisasi, salah satu perkara yang beliau tekankan ialah keselamatan dan kesejahteraan kakitangan-kakitangan yang berada dalam organisasi, di samping berusaha mencari jalan keluar daripada permasalahan yang dihadapi.

“Sebagai seorang ketua atau pemimpin, adalah menjadi prinsip utama agar memiliki mentaliti berteraskan pemedulian. Kita bersyukur menetap di negara ini yang dikelilingi dengan persekitaran masyarakat dengan nilai-nilai pemedulian.

Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman.
Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Revi Bhaskaran.
Reuben dari DARe sebagai moderator forum tersebut.
Seorang pemimpin perlu menerajui organisasi sehingga mampu memelihara kedayatahanan golongan pekerja dalam meneruskan pencapaian mereka.

“Namun perlu diketahui juga, jiwa kepimpinan dan pemeduliaan itu bukanlah hanya penting dalam sesebuah organisasi bahkan kita juga sepatutnya menyalurkan nilai-nilai positif tersebut dalam lingkungan masyarakat dengan menjadi diri sebagai role model dalam pelbagai aspek seperti menyertai program kesukarelawan, kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR), menderma darah dan sebagainya,” tekannya lanjut.

Kongsinya lagi, kita semua mengetahui duit adalah segalanya dalam kehidupan seperti dalam meneruskan misi perniagaan tetapi apa yang terpenting juga ialah seorang pemimpin itu mestilah memiliki perspektif yang terbaik untuk hak-hak bagi golongan pekerjanya dan juga pelanggan serta mampu menguruskan kewangan dengan amanah.

“Peganglah ini, seorang pemimpin tidak dilahirkan dalam sekelip mata tetapi mereka dilahirkan pada masa-masa sukar di mana dengan situasi sedemikian, ia mampu menjadikannya seorang pemimpin yang luar biasa sehingga berani bangkit di saat-saat kritis bagaikan satu peluang untuk membangun bersama,” katanya dengan penuh keyakinan.

Pemimpin miliki semangat di mana-mana

Menyentuh mengenai usaha dan langkah terbaik bagi seorang pemimpin untuk menerajui organisasi sehingga mampu memelihara kedayatahanan golongan pekerja dalam meneruskan pencapaian mereka lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan impak krisis kesihatan sebegini.

Javed Ahmad berkongsi pandangan bahawa satu perkara yang perlu dilaksanakan oleh seorang pemimpin itu ialah memiliki daya keyakinan dengan pelbagai tindakan positif serta perancangan-perancangan yang bernas apabila berdepan dengan permasalahan.

“Apa yang pasti, golongan pemimpin itu bukanlah seseorang yang berada di atas namun hakikatnya kehadiran mereka diperlukan dalam seluruh organisasi. Mereka mestilah sentiasa peka untuk mengetahui segala permasalahan sehingga ke akar umbi jika ingin berdaya maju.

“Satu perkara yang dapat kita jadikan iktibar sejak berlakunya penularan wabak di dunia ini, ia telah banyak mengubah corak kehidupan ke gaya norma baharu seperti teknik mempromosi menerusi platform digital, pengetahuan asas penjagaan kesihatan sejagat dan sebagainya.”

Ujar Javed lagi, menerusi industri F&B kini mengalami perubahan positif yang ketara di mana perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman menjadi salah satu peluang terbaik bagi mereka mencari pendapatan sehari-hari sama ada sampingan atau sepenuh masa.

“Yakinlah setiap apa yang berlaku itu memiliki laluan terbaik yang mampu kita terokai bersama jika kita tulus menyelami sehingga menjadikan kita dapat menyesuaikan diri dan berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya,” jelasnya lagi.

Bersama bangkit menerajui

Manakala menyentuh ketika situasi kritis kesihatan yang melanda, Haji Jeff Hadiman juga berkesempatan menyatakan apabila berbicara mengenai pemimpin dan menjadi seorang pemimpin itu lebih-lebih lagi di saat-saat sebegini, maka adalah menjadi keperluan yang mana semua pihak untuk menerajui liku-liku permasalahan yang dihadapi dengan semangat kerjasama bersama ahli-ahli organisasi mereka.

“Pemimpin itu pangkat sahaja dalam sesebuah organisasi, dan apa yang terpenting di saat ini ialah perlaksanaan pelan kelangsungan perniagaan (BCP), kita mestilah memastikan semua kakitangan berada dalam keadaan yang selamat. Di samping menekankan segala prosedur operasi standard (SOP), kita juga perlu mengetahui cabaran pekerjaan mereka sehari-hari,” tambahnya lanjut.

Hakikatnya kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Namun apa yang perlu diketahui kejayaan kepimpinan hanya mampu diraih apabila kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal dapat berfungsi dengan baik.