Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Menadah tangan ketika berdoa: Sunah Rasulullah

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Berdoa adalah suatu amalan yang amat digemari dan disuruh dalam Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai Aku, maka (katakan kepada mereka): “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku memperkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)

    Malahan berzikir dan berdoa adalah antara perkara yang disunatkan untuk dilakukan setiap kali selesai sembahyang tanpa ada perselisihan ulama mengenainya. Oleh yang demikian, berzikir dan berdoa sunat dilakukan oleh imam, makmum dan orang yang sembahyang bersendirian (munfarid).

    Apabila seseorang selesai daripada sembahyangnya, disunatkan baginya untuk berdoa dengan mengangkat atau menadah tangan, kemudian menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan apabila selesai daripada berdoa dan membaca hamdalah dan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada awal dan penutup doanya.

    Sunat memperbanyakkan membaca zikir (yakni zikir yang khusus dibaca selepas sembahyang) dan berdoa dengan doa yang ma’tsur selepas sahaja selesai sembahyang. Malahan doa yang dipanjatkan selepas sembahyang adalah mustajab. Bagaimanapun tidak mengapa jika berzikir itu tidak dimulai demi sahaja selepas selesai sembahyang dengan jarak atau tempoh masa yang pendek, tertakluk kepada ‘urf atau kebiasaan.

    Menyegerakan berzikir dan berdoa, iaitu demi sahaja selesai memberi salam selepas sembahyang dan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara lain, mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya ialah kerana kita memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat-tempat atau ketika agar doa itu mudah dan cepat dikabulkan. Perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a., katanya yang bermaksud:

    “Ditanyakan (kepada Rasulullah): “Ya Rasulullah, doa apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Rasulullah bersabda: “(Doa tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Antara adab yang disunatkan ketika berdoa ialah menadah kedua-dua belah tangan dengan dua tapak tangan menghala ke langit.

    Diriwayatkan oleh al-Harits bin Muslim at-Tamimi r.a. bahawa Rasulullah telah berpesan kepadanya jika dia selesai daripada sembahyang Subuh dan Maghrib, hendaklah dia terus sahaja membaca zikir tertentu yang diajarkan oleh Baginda kepadanya sebelum dia bercakap-cakap dengan sesiapa. Baginda bersabda yang bermaksud:

    “Sekiranya engkau (selesai daripada) sembahyang Subuh, maka ucapkanlah (zikir) sebelum engkau bercakap-cakap: “Allahumma Ajirni Minan Naar” sebanyak tujuh kali. Sesungguhnya jika engkau (mengucapkan dzikir tersebut) kemudian mati pada siang hari itu, nescaya Allah menentukan bagimu keamanan (keselamatan) daripada api neraka. Dan sekiranya engkau (selesai daripada) sembahyang Maghrib, maka ucapkanlah (zikir) sebelum engkau bercakap-cakap: “Allahumma Ajirni Minan Naar” sebanyak tujuh kali. Sesungguhnya jika engkau (mengucapkan zikir tersebut) kemudian mati pada malam hari itu, nescaya Allah menentukan bagimu keamanan (keselamatan) daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

    Pengertian daripada dzikir “Allahumma Ajirni Minan Naar” adalah “Ya Allah aku berlindung kepada Mu daripada api neraka, selamatkan aku daripada azab api neraka atau selamatkan aku daripada masuk ke dalam neraka”.

    Oleh kerana itu, tidak gugur tuntutan membaca zikir dan doa sekiranya kedua perkara ini terpisah daripada sembahyang yang pertama (awal) kerana diselangi dengan melakukan sembahyang sunat rawatib terlebih dahulu. Bagaimanapun yang afdhal ialah terus membaca zikir dan doa sejurus selepas selesai menunaikan sembahyang fardu, iaitu sejurus selepas selesai memberi salam. Beginilah cara yang dituntut ketika berzikir selepas sembahyang, sebagaimana juga yang dibuat oleh Rasulullah sendiri.

    Bagi seorang yang sembahyang dengan cara menjama‘kan dua sembahyang, dzikir bagi sembahyang yang pertama itu dikemudiankan atau diakhirkan, iaitu selepas menunaikan sembahyang yang kedua.

    Menadah tangan ketika berdoa di dalam sembahyang

    Menadah tangan ketika berdoa dalam sembahyang adalah tidak disunatkan melainkan menadah tangan ketika membaca doa Qunut. Menadah kedua tangan ketika membaca doa Qunut dalam sembahyang hukumnya adalah sunat, sepertimana sunat menadah kedua tangan ketika berdoa di luar sembahyang, kerana mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah. Walau bagaimanapun hukum menyapu muka setelah selesai daripada membaca doa Qunut dalam sembahyang adalah tidak disunatkan.

    Menadah tangan ketika berdoa di luar sembahyang

    Antara adab yang disunatkan ketika berdoa ialah menadah kedua belah tangan dengan kedua-dua tapak tangan menghala ke langit. Apabila selesai daripada berdoa, adalah sunat untuk menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan tersebut.

    Menadah tangan ketika berdoa di luar sembahyang itu merupakan ittiba‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah). Perkara ittiba‘ ini adalah berdasarkan riwayat, antaranya daripada Ibnu ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

    “Apabila engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan (menadah) dua tapak tanganmu, dan janganlah engkau berdoa dengan kedua belakang tapak tangan. Apabila engkau selesai berdoa, maka sapulah mukamu dengan kedua-dua tapak tanganmu itu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Menurut ulama, rahsia di sebalik menadah kedua tapak tangan ke arah langit adalah kerana langit merupakan kiblat atau arah untuk berdoa, kerana langit adalah tempat turun rahmat, tempat turun rezeki, tempat turun wahyu dan tempat turun berkat.

    Kadar mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa adalah separas (setinggi) dua bahu, melainkan jika terdapat kesulitan. Apabila seseorang itu bermohon atau berdoa bagi perkara yang sangat mendesak dan penting, adalah sunat diangkat tangan melebihi atau melimpasi bahu. Di samping itu, seseorang yang berdoa sudah dikira sebagai melakukan perkara yang disunatkan dengan semata-mata menadah kedua tapak tangannya, sama ada dirapatkan kedua-dua tapak tangannya ataupun dijarangkan (dipisahkan) keduanya, dan sama ada jari-jari tangannya diratakan dengan tapak tangannya ataupun jari-jarinya itu lebih terangkat atau tinggi (melekuk) daripada tapak tangannya.

    Membalikkan tapak tangan ketika berdoa

    Daripada penjelasan di atas, cara yang dianjurkan ketika berdoa di luar sembahyang adalah dengan mengangkat kedua-dua tangan kerana mengikut perbuatan dan Sunnah Rasulullah. Menurut ulama, ketika berdoa atau memohon kurnia sesuatu perkara kepada Allah, sunat bagi seseorang menadah kedua tapak tangannya ke langit. Memohon sesuatu perkara itu bererti memohon sesuatu yang baik. Termasuklah juga doa yang berbentuk permohonan supaya dihindarkan daripada bala bencana ke atas dirinya pada masa hadapan.

    Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, adalah sunat bagi setiap orang yang berdoa untuk membalikkan kedua tapak tangan, yakni kedua belakang tapak tangan dihalakan ke langit, antaranya ketika berdoa memohon kepada Allah agar dihindarkan bala atau diangkat suatu musibah yang sedang atau benar-benar telah berlaku pada dirinya.

    Perkara ini adalah berdasarkan amalan yang dilakukan di dalam sembahyang sunat Istisqa’, iaitu sembahyang sunat untuk memohon hujan. Dalam sembahyang sunat Istisqa’, ketika berdoa semasa khutbah, adalah sunat bagi khatib dan para jemaah untuk menadah tangan ke langit ketika membaca doa. Walau bagaimanapun apabila doa bagi menolak bala dibacakan, adalah sunat belakang tapak tangan dihalakan ke langit.

    Perkara ini adalah sabit berdasarkan riwayat Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah apabila berdoa memohon hujan (disebabkan kemarau), Baginda menghalakan belakang tapak tangan Baginda ke langit sebagaimana disebut di dalam hadis yang maksudnya:

    “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila berdoa meminta hujan, maka Baginda mengisyaratkan dengan belakang kedua tapak tangan Baginda ke langit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Selain itu perlu diketahui, ketika membaca doa Qunut dalam sembahyang, apabila tiba pada ayat Wa qini syarra ma qadhait (“Dan selamatkan aku dari bahaya yang telah Engkau tentukan”), adalah tidak disunatkan berdoa dengan menterbalikkan kedua tapak tangan ke bumi dan belakang tapak tangan pula dihalakan ke langit, kerana pergerakan sedemikian adalah tidak dituntut di dalam sembahyang.

    Sebagai kesimpulan, berdoa merupakan suatu amalan yang sangat digemari dalam Islam, bahkan disunatkan untuk memperbanyakkannya. Berzikir serta berdoa selepas sembahyang, sama ada bagi imam, makmum dan juga orang yang sembahyang secara bersendirian dengan zikir dan doa yang ma’tsur selepas sembahyang, hukumnya adalah sunat.

    Adapun masa yang dituntut untuk berzikir dan berdoa selepas sembahyang ialah demi sahaja selesai memberi salam dalam sembahyang. Malahan antara saat yang mustajab untuk doa dikabulkan ialah selepas sembahyang. Melihat kepada keistimewaan ini, janganlah seseorang itu meninggalkan amalan berdoa selepas sembahyang ataupun terlalu cepat untuk beredar sebelum doa selesai dibaca sehingga menyebabkan dia kerugian kerana terluput daripada keistimewaan tersebut, lebih-lebih lagi dalam sembahyang berjemaah fardu lima waktu dan sembahyang fardu Jumaat.

    Antara adab berdoa itu adalah mengangkat kedua-dua tangan sebagai ittiba‘, iaitu mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah. Sunat bagi seseorang yang berdoa supaya menadah kedua tapak tangan ke langit pada doa yang berbentuk permohonan sesuatu yang baik, termasuklah juga doa untuk menolak (dihindarkan) bala di masa hadapan. Demikian juga, adalah sunat bagi seseorang yang berdoa untuk membalikkan kedua tapak tangannya ketika membaca doa tolak bala.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...