Oleh Lenna N.B & Nurdiyanah R.
KEDENGARAN suara-suara mengucapkan selawat ke atas Rasulullah S.A.W., ada yang sebak menangis menitiskan air mata, seolah-olah merasa kehadiran Rasullullah begitu hampir.
Baginda Rasulullah adalah tanda lahirnya cahaya kebenaran. Kisah hidupnya menjadi ristaan yang tidak pernah luput ditelan zaman, malah tetap segar menanamkan rasa kecintaan kita kepadanya, kerana Baginda merupakan teladan seorang muslim yang mulia patut dicontohi oleh seluruh umat Islam sebagaimana yang dipetik dalam tafsiran Al-Quran di bawah:
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan)hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah
(Surah Al-Ahzab, Ayat 21)
Terkenal dengan budi bahasanya yang lembut, penampilannya yang sederhana, wibawanya yang mempesonakan, wajahnya yang indah, walaupun tidak pernah bersua, tetapi dari cerita-cerita para sahabat dan keluarga Baginda (seperti yang kita baca dalam hadith-hadith atau buku berkenaan riwayat Rasulullah), Rasulullah S.A.W. ternyata merupakan manusia yang sangat indah sekali sama ada dari segi pekertinya atau fizikalnya. Ali bin Abi Talib radhiAllahu ‘anhu’ pernah berkata:
…Tidak pernah aku lihat orang yang setanding Baginda, sama ada sebelum (Baginda lahir) mahupun selepas(Baginda meninggal dunia)
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)




Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah
Sempena aktiviti cuti sekolah iaitu Festival Disember Brunei, Syarikat Avertu Management Services yang bernaung di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta dibantu oleh Kelab Komuniti Belia Tranformasi, dari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah menganjurkan Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah dan Para Sahabat Radiallahu Anhu, yang telah bermula pada 25 Disember 2017 dan akan berlangsung hingga 13 Januari 2018 ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Menurut Sekretariat Pameran, Hajah Bazilah binti Mudim Haji Ahmad Kasra, Insya Allah atas permintaan ramai terutamanya dari pihak-pihak sekolah, pameran mungkin akan terus dilangsungkan hingga penghujung bulan Januari, bagi memberikan peluang kepada murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah untuk mengenali Rasulullah S.A.W., Nabi Junjungan Besar kita.
“Kini, jumlah pengunjung telah mencecah seramai 8,000 orang sejak pameran dibukakan kepada orang ramai, di mana menunjukkan pameran ini cukup di sambut baik oleh seluruh penduduk di negara ini, malah turut menarik pelawat-pelawat yang bukan beragama Islam di negara ini serta pelancong dari luar negara, yang berminat untuk mengetahui dan berkenalan dengan Rasulullah S.A.W.,” jelas Hajah Bazilah.
Menjejaki sekitar pameran
Baru-baru ini, Media Permata berkesempatan untuk melihat Pameran Cinta dan Kenali Rasulullah secara lebih dekat. Ketika melangkah ke ruang pintu utama pameran, suatu perasaan tenang yang tidak dapat diungkapkan telah dirasai. Warna-warni hiasan seni keIslaman begitu menyentuh hati dalam menyingkap aura-aura lembaran perjuangan Baginda dalam membawa jalan kebenaran kepada umat manusia.
Ucapan selawat tidak pernah lekang di bibir pengunjung ketika menyelami satu-persatu khazanah peninggalan Baginda dan para sahabat Baginda. Melalui, penjejakan singkat Media Permata ini, kami juga telah menyingkap beberapa artifak yang cukup menarik di sekitar pameran.
Janggut dan Rambut Rasulullah S.A.W.
Janggut dan rambut Rasulullah S.A.W. tetap masih segar dan kelihatan seakan-akan berada dalam keadaan hidup, walaupun Baginda telah sekian lama meninggalkan kita. Para sahabat Rasulullah S.A.W. merupakan insan yang bertanggungjawab dalam mengumpul janggut dan rambut Baginda, yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri setelah dipotong.





Baginda pernah memberikan janggut Baginda kepada Abu Talha al-Ansari dan kemudian dibahagi-bahagikan kepada para sahabat semasa hari perpisahan. Manakala, rambut Baginda pula diberikan kepada Mamar Ibn Abdullah.
Ali bin Abi Thalib pernah meriwayatkan bahawa rambut Baginda Rasulullah adalah lurus dan sedikit berombak. Satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Tirmizi daripada Al-Bara bin ‘Azib juga berkata:
“Aku tidak pernah melihat orang yang memiliki rambut yang menyentuh sehingga ke bawah telinga (antara cuping telinga dan bahu), dengan memakai pakaian berwarna merah, yang lebih tampan daripada Rasulullah S.A.W. Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya yang bidang dan juga Baginda bukanlah seorang yang rendah dan bukan juga tinggi.”
Tapak kaki dan capal Rasulullah S.A.W.
Sejumlah 44 jejak kaki Baginda Rasulullah S.A.W. yang berada dalam simpanan pengumpul persendirian, muzium dan para keturunan Baginda.
Salah satunya, adalah tapak kaki Baginda yang ditampilkan di pameran di sebalik kaca yang lut sinar.
Melalui Imam Kastalani dalam Kitab-Kitab Mawahib Alladunia (Rahmat Ilahi) menceritakan bahawa apabila Baginda berjalan di atas batu, kaki Baginda akan tenggelam di dalam dan meninggalkan kesan cetakan. Inilah menjadi bukti tanda kebesaran Allah S.W.T. meninggalkan jejak kaki Rasulullah kepada kita, seluruh manusia, umat Islam, pengikut Baginda dalam menuju ke arah cahaya kebenaran.
Sesuai dengan saiz ukuran tapak kaki Baginda, turut dipamerkan adalah capal Rasulullah S.A.W. atau dalam bahasa kita, selipar Rasulullah S.A.W yang mempunyai tali untuk dipakaikan antara dua jari kaki. Walaupun ia kelihatan usang, tetapi bentuk capalnya masih berada dalam keadaan sempurna.




Lebih 15 artifak
Selain itu, antara yang menarik turut ditampilkan dalam pameran itu adalah artifak serban Rasulullah yang masih terpelihara keasliannya, kiswah penutup makam Rasulullah yang diganti 100 tahun sekali, pedang-pedang rampasan dalam sejarah Islam semasa zaman Rasulullah S.A.W. dan Sahabat, baju perang berantai kerajaan Islam Parsi, Batu Bersurat Masjid Quba, Al-Quran Emas semasa Kerajaan Othmani pada kurun ke-18, Artifak Peninggalan Saidina Hassan dan Saidina Hussin serta banyak lagi.
Di samping itu, Kiswah Kaabah yang diganti dari tahun ke setahun turut dipamerkan sekali gus memperlihatkan keunikan dan keunggulan yang tersendiri.
Pintalan-pintalan benang berwarna emas dan perak bersatu-padu dalam merangkai barisan kalam Illahi. Justeru itu, ia menjadi sungguh bernilai kerana keindahan dan eksotisme pintalan benang emas dan perak di permukaannya sehingga ia mampu menjadi simbol kekuatan, kesederhanaan dan juga keagungan seni Islam.
Antara kain kiswah yang dipamerkan adalah Kiswah Pintu Kaabah semasa kerajaan Othmani pada kurun ke-15, Kiswah Merah Kaabah berukuran 8 kaki x 16 kaki persegi tukaran kain kiswah pada tahun 1958, dan kain kiswah berwarna hijau tukaran tahun 1970 masing-masing mempunyai keindahan dan keunggulannya.
Menurut Hajah Bazilah, lebih 15 koleksi pameran secara keseluruhannya didatangkan dari Malaysia, Jordan dan Saudi. Insya Allah menurut beliau, pada masa akan datang, pameran siri kedua akan dilaksanakan pada sekitar tahun ini, dengan menggunakan teknologi hologram untuk mempamerkan kisah hidup Rasulullah S.A.W., setentunya mendorong kita untuk lebih mengenali Baginda dan seterusnya menanamkan semangat cinta kepada generasi warisan bangsa.
Pameran dibuka pada setiap hari dari pagi hingga ke malam, kecuali hari Jumaat pada 12-2 petang ia ditutup untuk solat Jumaat.
Di samping itu, pameran itu turut diserikan dengan aktiviti ceramah dan khutbah yang dilaksanakan pada setiap hari Jumaat hingga Ahad.
Ia merupakan suatu pengalaman yang singkat tetapi menggetarkan jiwa, semoga pameran tersebut sedikit sebanyak membuka hati kita untuk lebih dekat kepada jalan kebenaran, suatu jalan diperjuangkan oleh Rasulullah S.A.W., untuk kita menempah tempat di syurga.