Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Tuah memihak Dayang Noralyaa Puspa apabila beliau berjaya membawa pulang hadiah utama berupa pakej pelancongan menginap lapan hari ke Istanbul, Turki untuk dua orang bagi cabutan bertuah Ramadan Dine & Win 2018 Royal Brunei Catering (RBC) di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Restoran Horizons Seafood.
Manakala pemenang kedua yang mendapat hadiah berupa iPhone X 256GB tajaan Bank Baiduri ialah Awang Marzuki Alim dan tempat ketiga, Awang Kamal Ariffin telah berjaya membawa pulang hadiah dua tiket penerbangan ke Bali tajaan Century Travel Centre Sdn Bhd.
Sementara itu, dua lagi pemenang, Foo Siaw Pin dan Dayang Mardiah binti Haji Omar Ali membawa pulang hadiah saguhati berupa baucar makanan RBC bernilai $100.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial dan Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Menurut Haji Jeff Hadiman dalam ucapannya menjelaskan bahawa bulan Ramadan tahun ini bagi RBC merupakan salah satu kejayaan yang begitu membanggakan kerana kesemua tujuh cawangan RBC telah mendapat sambutan yang menggalakkan bagi promosi Ramadannya.
Beliau menambah lagi lebih 20,000 pelanggan telahpun berkunjung ke cawangan-cawangan RBC pada bulan tersebut dan lebih 5,000 orang pelanggan telah menyertai cabutan bertuah itu.