Menangis terkenang arwah Siti Sarah

Genap 100 hari pemergian arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pelawak Shuib Sepahtu masih sukar meneruskan kehidupan tanpa mengenangkan insan kesayangannya itu.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, mengakui menangis setiap kali terkenang isterinya yang dijemput Ilahi pada 9 Ogos lalu.

“Hari ini genap 100 hari pemergian arwah. Setakat ini, anak-anak okay sahaja, cuma sesekali mereka katakan ibu sudah tiada dan meluahkan perasaan rindu. Tetapi, saya pula agak sukar dan senang ‘bocor’ apabila teringatkan arwah.

“Kalau ikutkan saya jenis yang penuh dengan motivasi sebab selalu bagi ceramah. Tetapi, saya agak sukar ‘move on’ dalam situasi ini.

“Sebenarnya, saya percaya suami isteri akan melalui seperti ini apabila berlaku terlalu awal pemergian pasangan. Sudah tentu, ia mengambil masa untuk terima. Dan, masanya yang diambil tidak tahu berapa lama,” katanya ketika ditemui pada majlis aqiqah, cukur jambul dan tahnik anak keempat, Ayash Affan yang berusia tiga bulan serta tahlil sempena 100 hari pemergian arwah Siti Sarah di kediamannya.

Shuib bersama anaknya pada majlis aqiqah, cukur jambul dan tahnik anak keempat, Ayash Affan yang berusia tiga bulan serta tahlil sempena 100 hari pemergian arwah Siti Sarah di kediamannya. – Agensi

Shuib berkata dia cuba meneruskan kehidupan, tetapi sentiasa sahaja terkenangkan arwah.

“Seperti nak buat majlis hari ini, saya rasa arwah ada sahaja di sisi. Sebab ketika mula pindah di sini, arwah memang suka buat majlis.

“Jadi, apabila teringatkannya, saya sebak,” katanya.

Melihat keadaan fizikal yang agak susut, Shuib memberitahu, dia hilang selera makan sejak pemergian arwah isterinya.

“Ya, saya kurang makan sebab tiada selera. Jika dengan arwah, dia suka makan, jadi saya tidak boleh tolak.

“Malah, jam 2 pagi pun boleh makan lagi. Iyalah dulu makan, arwah ada, sekarang makan saya sendiri yang kena jaga.

“Dan sekarang saya makan bila lapar sahaja, sebab saya tak jumpa selera makan saya. Itu yang menyebabkan badan susut sikit,” katanya yang masih menziarahi kubur arwah setiap Isnin dan Jumaat.

Sementara itu, Shuib masih mengambil tempoh berehat berkata, dia sudah enam bulan tidak bekerja dan menjayakan sebarang tawaran seni.

Kata Shuib, dia bagaikan tidak pandai untuk kembali bekerja dan disebabkan itu, memilih meneruskan pemeriksaan kesihatannya. – Agensi