‘Menanti jodoh kiriman Tuhan’

Berkurung dalam rumah, sambil menjalani ibadat puasa bersendirian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bukan perkara mudah untuk dilalui.

Tentunya, kehadiran Ramadan ini disambut dengan suasana yang berbeza buat pelakon Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda, Remy Ishak, 38.

Kebiasaannya, menjelang bulan mulia, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak tidak melepaskan peluang menyambut awal puasa bersama ibu dan keluarganya di kampung halaman, Melaka.

Bagaimanapun, berbeza tahun ini, Remy menyambut puasa seorang diri di kediaman bujangnya. Lebih lagi, tempoh PKP yang memasuki fasa keempat dilanjutkan hingga 12 Mei ini.

“Sukar ‘menghadap’ Ramadan seorang diri apabila tidak dapat pulang ke kampung untuk bersama keluarga.”

Remy berkata, dia merindui keluarga apabila tinggal bersendirian dalam tempoh lebih sebulan ini. – Agensi

Remy berkata, dia merindui keluarga apabila tinggal bersendirian dalam tempoh lebih sebulan ini.

Diusik soal jodoh, Remy sempat berseloroh, “Jika ada pasangan hidup, pasti tempoh PKP dijalani dengan lebih indah.

“Saya sendiri tertanya-tanya, bila agaknya Tuhan mahu mengirimkan jodoh buat saya. Alangkah indah jika ada pasangan sepanjang tempoh PKP ini.

“Sekurang-kurangnya, ada juga teman untuk mengusik. Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada sebarang petanda saya akan bertemu jodoh,” katanya.

Aktor yang diangkat sebagai Pelakon Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-23 itu berkata, dia tidak ketinggalan melakukan kerja amal membantu peminat yang menghantar mesej langsung dalam laman sosial untuk meminta bantuan.

Simpati dengan nasib yang menimpa peminat, Remy berkata, dia mulanya menghulurkan bantuan menggunakan duit poket sendiri.

“Saya tahu ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan sejak PKP dikuat kuasa. Saya kerap menerima mesej langsung dan kiriman e-mel daripada mereka yang memerlukan.

“Apa yang menyedihkan, mereka bukan sahaja minta bantuan kewangan, malah bahan mentah dan makanan bagi menyuap mulut anak-anak.

“Mulanya, saya membantu mengikut keperluan. Bagaimanapun, hari demi hari, jumlah minta pertolongan semakin ramai, jadi agak mustahil saya dapat melakukannya secara bersendirian,” katanya.

Remy berkata, dia berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pendokong & Pencinta Ulamak untuk berkerja sama dalam misi bantuan itu.

“Alhamdulillah, lebih ramai insan yang tidak bernasib baik dapat dibantu dengan hasil kerjasama pertubuhan ini, berbanding saya melakukan sendirian. –Agensi