Menara jam jadi mercu tanda pekan Tuaran

TUARAN, 16 JULAI – Lebih 10 tahun tidak berfungsi, menara jam yang menjadi mercu tanda daerah ini, bukan saja kembali sebagai rujukan masa, malah berwajah baharu selepas Majlis Daerah Tuaran (MDT) mengambil pendekatan menaik taraf kemudahan itu.

Jam lama berstruktur konkrit berusia lebih 50 tahun itu kembali berdiri gah dan cantik di Jalan Kent Pekan Tuaran selepas hampir setahun kerja baik pulih dilaksanakan ke atas kemudahan itu, baru-baru ini.

Tinjauan Bernama mendapati menara jam bukan hanya bercat baharu, malah turut dihias dengan corak budaya etnik Dusun Lotud iaitu Linangkit dan ditambah unsur pencahayaan waktu malam.

Persekitaran menara itu juga dinaik taraf membolehkan pengunjung mempunyai akses serta aliran trafik lebih selesa ketika mengunjungi pekan Tuaran. – Bernama

Menara jam tertua yang menjadi mercu tanda Tuaran, kini berwajah baharu selepas Majlis Daerah Tuaran (MDT) mengambil langkah membaik pulihnya.
 – Bernama