AGRA, 13 April – Angin kuat yang mengganas telah memusnahkan dua tiang purba di pintu masuk ke Taj Mahal, menurut seorang pegawai semalam, yang mana telah mendedahkan mengenai kerapuhan monumen berusia berabad-abad itu.
Menara batu pasir setinggi empat meter itu, dengan puncaknya yang penuh dengan ukiran, bertukar menjadi beberapa pecahan selepas terjatuh akibat ditiup angin kuat pada lewat Rabu.
“Dua tiang hiasan telah runtuh pada lewat semalam ketika angin kuat. Tiang-tiang itu terletak di pintu masuk diraja dan di pintu masuk selatan,” menurut seorang pegawai dari Tinjauan Arkeologi India kepada AFP.
Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan berlaku pada keempat-empat menara batu marmar warna putih, yang mengelilingi Taj Mahal ketika angin kuat, ujar pihak berkuasa.
Para pelancong sering mendapat gambaran pertama mereka mengenai Taj Mahal, yang mana merupakan salah satu tapak warisan dunia UNESCO, melalui pintu diraja, satu pintu besar seperti kubu yang sebahagian besarnya terdiri daripada batu pasir berwarna merah, di mana kedua-dua menara itu terletak sebelum angin kuat merosakkannya.
Gambar menunjukkan tiang batu itu jatuh menjadi ketulan besar, dengan puncaknya terpisah daripada tiangnya, dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat runtuhan itu, ujar pihak berkuasa.
Taj Mahal merupakan sebuah makam yang dibina oleh Pemerintah Mogul Shah Jahan untuk isterinya Mumtaz Mahal, yang meninggal dunia ketika melahirkan pada 1631.
Ia merupakan salah satu tarikan utama pelancong di dunia, yang mana telah menghadapi masalah pencemaran udara, menjadikan batu marmarnya menjadi kekuningan dan masalah berkaitan serangga yang meninggalkan kesan berwarna hijau pada dinding belakangnya.
Usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangannya telah memasuki tahun keempat, dengan bahagian struktur pembinaan telah merosakkan pemandangan lebih 10,000 pelancong yang datang setiap hari untuk melawat monumen abad ke-17 itu. – AFP