Mencapai kebahagiaan suami isteri

Ulasan Siri TV oleh Ak Zaki kasharan

DRAMA terbaharu Korea berjudul Oensonjabi Anae dalam bahasa Korea yang bermaksud Left-Handed Wife sepanjang 100 episod yang mula ditayangkan pada bulan Januari yang lepas bagi menggantikan slot drama Love To The End merupakan sebuah drama kekeluargaan yang penuh dengan cabaran dan liku-liku seperti kehidupan kita sehari-hari.

Drama yang dibintangi oleh Lee Soo Kyung merupakan drama yang akan menampilkan kisah kehidupan rumah tangga dan segala permasalahannya. Sementara itu, artis senior yang popular dan terkenal dengan lakonan hebatnya dalam drama sebelum ini iaitu Lee Soo Kyung akan menjadi pelakon utama wanita dalam drama ini.

Terlibat dalam kemalangan

Lee Soo-Ho ( Kim Jin-Woo ) dan Oh San-Ha ( Lee Soo-Kyung ) merupakan pasangan suami isteri yang sangat mencintai antara satu sama yang lain. Setelah pasangan tersebut selesai melangsungkan perkahwinan, seterusnya pasangan tersebut merancang dan pergi berbulan madu.

Pada saat mereka sedang asyik menikmati saat indah berdua ketika bulan madu mereka, Lee Soo-Ho mengalami kecelakaan dan hilang ingatannya.

Sementara itu, isterinya Oh San-Ha yang pada ketika kejadian tersebut tidak bersama suaminya pula tidak mengetahui sama sekali akan apa yang terjadi pada suaminya dan mencuba untuk mencari suaminya.

Banyak perkara dan masalah yang perlu dihadapi oleh isterinya dalam usahanya memulihkan ingatan suaminya bagi mengenangkan kembali segala kenangan dan memori mereka bersama-sama sewaktu mereka masih dilamun cinta.

Adakah Lee Soo-Ho akan mengingat kembali akan isterinya, ikuti kisah selanjutnya dalam drama hebat Korea, Left-Handed Wife.