Mencari dalang pembunuh empat ratu

Ulasan buku oleh Raz AS

DARI segi luarannya, Keralie Corrington, gadis berusia 17 tahun itu kelihatan tidak berbahaya, namun di sebaliknya, Keralie sebenarnya adalah salah seorang pencuri dan penipu terhebat di Quadara.

Varin pula adalah seorang penduduk di wilayah yang paling aman di Quadara, Eonia, yang bersifat jujur dan amanah. Pertembungannya dengan Keralie, ketika gadis itu mencuri sebuah bungkusan daripadanya telah membuatkan hidupnya berada dalam bahaya.

Apabila Varin cuba untuk mendapatkan kembali bung-kusannya yang telah dicuri itu, dia dan Keralie mendapati bahawa diri mereka telah terbabit dalam sebuah konspirasi yang menyebabkan kematian empat orang ratu di Quadara.

Dengan tiada pilihan lain dan terpaksa melarikan diri daripada bekas majikan Keralie, mereka berdua terpaksa berganding bahu untuk mencari kebenaran di sebalik dalang yang membunuh ratu-ratu tersebut di samping menyelamatkan nyawa mereka.

Tanpa disangka perasaan cinta mulai terbit dalam hati mereka, walhalnya ia adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi hanya beberapa hari yang lalu.

Bersama-sama mereka harus berusaha untuk terus hidup dan merungkai misteri kematian ratu-ratu.

Novel Four Dead Queens adalah sebuah novel misteri pembunuhan di mana agenda bertembung dengan kesan yang berbahaya daripada penulis baru berbakat, Astrid Scholte.