Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mencari nikmat beribadah

    SESUNGGUHNYA ibadah berperanan sebagai penentu kebahagiaan dan kesejahteraan. Bukan hanya pada individu bahkan ianya juga mempengaruhi kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah keluarga, masyarakat, bangsa dan negara sehingga membangun tamadun yang madani.

    Fakta utama yang dapat kita lihat bersama dan melibatkan berbagai aspek ialah ancaman gejala sosial dalam berbagai kategori yang kian membara ditengah-tengah kita.

    Dan jika hal ini kita renungkan dengan kejernihan jiwa, maka jawabnya ialah berkaitan dengan pelaksanaan ibadah yang diabaikan, sehingga berdampak lahirnya berbagai perbuatan maksiat.

    Sebagai seorang hamba, manusia mempunyai tanggungjawab untuk mengabdi kepada Allah SWT. Dan pengabdiannya itu tercermin melalui ibadah yang dikerjakannya.

    Secara khusus, ibadah yang dikerjakan dengan diiringi sifat mulia seperti: sabar, ikhlas, istiqamah dan penuh kejujuran dengan ketulusan niat semata-mata hanya kerana Allah ternyata memiliki manfaat yang begitu besar dan baik bagi mereka yang mengerjakannya. Sebab itulah ibadah menjadi penentu bagi kehidupan seorang insan.

    Bercakap soal mencari kemanisan atau kenikmatan dalam beribadah, kehidupan moden masa kini merupakan cabaran besar untuk ditempuh. Dengan alasan tugas seharian dalam alam pekerjaan, maka pelaksanaan ibadah mudah diabaikan, maka hilanglah kenikmatan beribadah sebagai sumber kekuatan dalaman diri sebagai seorang muslim mukmin. – Gambar hiasan

    Sesungguhnya kenikmatan beribadah itu merupakan anugerah Ilahi kepada sesiapa yang dikehendaki. Maka berbahagialah individu yang dianugerahkan nikmat beribadah terutama dalam kehidupan masa kini yang penuh mencabar.

    Namun bagi yang belum menikmatinya, maka usah berputus-harap dengan kasih sayang Ilahi. Mohonlah agar anda diberi kekuatan untuk beribadah dalam seluruh kehidupan ini, mudah-mudahan kenikmatan hidup yang dijanjikan melalui ibadah itu bakal menyinari kehidupan anda hingga ke akhirnya.

    Cuba renung kehidupan yang anda lalui saban waktu, di mana diri ini dalam soal beribadah kepada Tuhan yang telah menganugerahkan segala nikmat ke atas diri ini dan Dia menjadikan ibadah sebagai tanggungjawab utama ke atas setiap diri yang mengaku beriman dengan-Nya? Hayati firman-Nya;

    “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribada kepada-Ku.” (Surah Al-Zariyah, ayat 56)

    Bagi individu yang mendambakan kenikmatan dan kemanisan beribadah, antara cahaya Nabi SAW yang boleh dipohon ke hadrat Ilahi adalah ‘Nurul Ubudiah’ (cahaya pengibadatan) yang telah Tuhan anugerahkan kepada kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Dengan cahaya berkenaan, Baginda memperoleh kenikmatan beribadah yang tiada tolok-bandingnya.

    Dengan keimanan yang kukuh kepada Allah SWT, Baginda SAW menyandarkan seluruh hidupnya kepada-Nya. Suruhan beribadah disempurnakan dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan apa-apa kecuali keredaan daripada-Nya. Saat beribadah menjadi masa yang amat dinantikan oleh Baginda walau dalam apa situasi sekalipun. Seluruh kehidupan duniawi mampu ditinggalkan ketika melalui saat-saat indah bersama Ilahi.

    Cuba hayati sirah kehidupan Baginda SAW dalam soal beribadah kepada Allah SWT, betapa kita dapat memahami serta menghayati betapa nikmatnya hubungan Baginda di saat mengabdikan diri kepada Ilahi.

    Jika tiada suruhan untuk menyantuni kehidupan sesama manusia (hablum minannas) nescaya Baginda menghabiskan seluruh hidupnya bersama Allah SWT (hablum minallah).

    Sebagai seorang hamba, manusia mempunyai tanggungjawab untuk mengabdi kepada Allah SWT. Dan pengabdiannya itu tercermin melalui ibadah yang dikerjakannya. Secara khusus, ibadah yang dikerjakan dengan diiringi sifat mulia seperti: sabar,ikhlas,istiqamah,dan penuh kejujuran dengan ketulusan niat semata-mata hanya kerana Allah ternyata memiliki manfaat yang begitu besar dan baik bagi mereka yang mengerjakannya. – Gambar hiasan
    Sesungguhnya kehidupan bersama Allah SWT merupakan kehidupan yang sangat membahagiakan. Saat individu dirundung kesedihan, maka Tuhan akan membahagiakan hatinya. Saat individu diuji masalah atau kesusahan hidup, maka Tuhan akan membuka jalan-jalan penyelesaian untuknya. Saat individu dilalaikan oleh tipu daya duniawi, maka Tuhan akan menyedarkannya daripada tipu daya berkenaan, lalu membawanya ke jalan kehidupan hakiki yang diredaiNya. – Gambar hiasan

    Itulah kenikmatan yang tiada tolok-banding dengan segala kenikmatan duniawi yang sering dipandang atau dirasai indah oleh pandangan manusia.

    Indah kehidupan apabila bersama Allah

    Bercakap soal mencari kemanisan atau kenikmatan dalam beribadah, kehidupan moden masa kini merupakan cabaran besar untuk ditempuh. Dengan alasan tugas seharian dalam alam pekerjaan, maka pelaksanaan ibadah mudah diabaikan, maka hilanglah kenikmatan beribadah sebagai sumber kekuatan dalaman diri sebagai seorang muslim mukmin.

    Ini ditambah pula dengan kesibukan melayari media sosial demi tujuan keduniaan yang kurang berfaedah, lalu mengabaikan tanggungjawab beribadah yang dipikul oleh setiap insan yang mukallaf.

    Walau apa cabaran hidup, kenikmatan beribadah ini merupakan keperluan hakiki untuk setiap insan. Kenikmatan ibadah menjadi pendorong untuk individu sentiasa menghabiskan masa hidupnya bersama Allah SWT.

    Sesungguhnya kehidupan bersama Allah SWT merupakan kehidupan yang sangat membahagiakan. Saat individu dirundung kesedihan, maka Tuhan akan membahagiakan hatinya. Saat individu diuji masalah atau kesusahan hidup, maka Tuhan akan membuka jalan-jalan penyelesaian untuknya.

    Saat individu dilalaikan oleh tipu daya duniawi, maka Tuhan akan menyedarkannya daripada tipu daya berkenaan, lalu membawanya ke jalan kehidupan hakiki yang diredaiNya. Segala nikmat menjadi anugerah Ilahi untuk insan yang istiqamah beribadah kepadaNya dengan penuh kenikmatan.

    Justeru itu, mohonlah ke hadrat Ilahi agar dikurniakan ‘Nurul Ubudiah’ seperti mana yang dimiliki oleh Nabi SAW. Semoga diri ini lebih bermotivasi untuk beribadah kepadaNya serta direzekikan kenikmatan serta kemanisan dalam saat beribadah kepada-Nya.

    Secara umum ibadah dapat berperanan sebagai alat untuk menumbuhkan kesedaran pada diri manusia iaitu sebagai insan yang diciptakan Allah, khusus untuk mengabdi kepadaNya. Dan segala ibadah yang dikerjakannya itu semata-mata demi mendapatkan keredhaanNya yang pelaksanaannya diiringi dengan kesempurnaan sifat yang mahmudah. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda