ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJID DAUD
SEBELUM ini novel karya Setia Hujung Nyawa karya Fatin Nabila telah diadaptasi menjadi sebuah siri drama dan kini sebuah lagi novel karya beliau iaitu Bahagia Kasihmu pula dipilih untuk diadaptasi menjadi sebuah drama bagi mengisi slot Zehra TV3.
Ia diarahkan oleh Nazir Jamaluddin dibawah terbitan A.Aida Production Sdn Bhd dengan mengandingkan Fezrul Khan dan Eyka Farhana sebagai pelakon utama.
Selain itu, ia turut dibintangi oleh Farisha Irwayu, Afifah Nasir, Qazem Nor, Tisha Shamsir, Fazlina Ahmad Daud, Mimi Ernida, Julia Ziegler dan Firdaus Ghufran.
Pada dasarnya ia mengisahkan mengenai Tasnim lakonan Eyka Farhana yang sentiasa berasa kegelisahan berikutan daripada diburu oleh masa silam. Kepahitan semalam mendera perasaan sehingga dia tidak berani mencintai. Jauh sekali membiarkan dirinya dicintai. Dia sentiasa sedar di mana dia berpijak. Di penjuru mana dia berdiri.
Kemunculan Zarul lakonan Fezrul Khan, memang hadir tanpa diduga. Tanpa sedar, lelaki itu menjadi watak penting dalam hari-harinya.

Tasnim seolah terikat dengan Zarul. Ingin menjauh, tetapi makin dekat pula jadinya. Dalam diam, sedetik rasa mula bertunas dalam jiwanya.
“Awak adalah perempuan yang berjaya membuka pintu hati saya. Siapa pun awak sebelum ini, saya tak kisah.Izinkan saya bahagiakan awak,” ungkap Zarul kepada Tasnim.
Ungkapan tersebut telah membuatkan Tasnim terkedu. Pertemuan mereka tidak pernah dirancang. Perkenalan mereka tanpa salam. Lalu, semudah itukah dia melafazkan kata cinta?
Kata pujangga, apabila hati disimbahi cahaya cinta, sinarnya akan dapat dibaca pada seri wajah. Begitulah hebatnya kuasa cinta. Jadi, wajarkah dia menolak hakikat sebuah kehidupan?
Hakikatnya, cinta itu permulaan sebuah derita. Dibayar dengan air mata sekalipun belum tentu mendatangkan bahagia sekelip mata.
Justeru, bagaimanakah kesudahan kisah di antara Tasnim dan Zarul ini untuk mengetahui kesudahannya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Bahagia Kasihmu yang disiarkan di Slot Zehra pada saluran TV3.